Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan presiden FAS mendiang Lim Kia Tong diberi anugerah berprestij Berlian Asia AFC
Mantan presiden FAS mendiang Lim Kia Tong diberi anugerah berprestij Berlian Asia AFC
Mantan presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), mendiang Lim Kia Tong, telah diberikan anugerah berprestij Berlian Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) secara anumerta pada 19 November.
Di majlis Anugerah AFC Bangkok 2026 di Thailand, Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa, menyampaikan anugerah tersebut kepada setiausaha agung FAS, Encik Badri Ghent, yang menerimanya bagi pihak keluarga mendiang Lim.
Mendiang meninggal dunia pada 14 September 2022 pada usia 70 tahun.
Berlian Asia AFC merupakan penghormatan tertinggi yang dikurniakan oleh konfederasi tersebut, serta mengiktiraf dan menghargai usaha cemerlang individu ke arah memajukan bola sepak di Asia.
Mendiang Lim merupakan rakyat Singapura pertama yang menerima anugerah itu, yang sebelum ini turut diterima oleh pengasas dan pengerusi pertama Liga Jepun, Saburo Kawabuchi, serta bekas presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Sepp Blatter dan Lennart Johansson, serta ketua Fifa sekarang kini, Gianni Infantino.
Dalam satu kenyataan pada 19 November, AFC menyatakan bahawa anugerah tersebut memuji mendiang Lim atas “pengabdian luar biasa sepanjang hayatnya kepada sukan bola sepak di seluruh Asia” serta “meraikan sumbangan besar sepanjang hayatnya terhadap tadbir urus sukan, integriti, dan pembangunan”.
Presiden AFC Shaikh Salman berkata: “AFC telah menggariskan visi dan misinya untuk menjadi konfederasi terkemuka dalam bola sepak dunia, dan kemajuan yang telah kita capai harus dikaitkan dengan sumbangan pemimpin berwawasan pada masa lalu mahupun masa kini.”
Mendiang Lim menjadi presiden FAS pertama yang dipilih pada 2017.
Beliau telah menyertai jawatankuasa tatatertib FAS pada 1992 dan dilantik sebagai anggota majlis FAS pada 1999. Menjelang 2007, beliau menjadi naib presiden FAS.
AFC memberi penghormatan kepada beberapa inisiatif yang dilancarkan oleh FAS di bawah kepimpinan mendiang Lim seperti “pembaharuan sistemik untuk meningkatkan profesionalisme liga domestik dengan penjenamaan semula Liga Perdana Singapura.
Mendiang juga turut menyegarkan semula sistem latihan belia, dan memperkenalkan Anugerah Pengiktirafan FAS, iaitu satu inisiatif tonggak yang beliau cipta sendiri bagi memastikan wira dan penyumbang tempatan harian diiktiraf sewajarnya”.
Mendiang Lim, seorang peguam, berkhidmat sebagai anggota Jawatankuasa Undang-Undang AFC dari 2003 hingga 2006 dan anggota Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC sejak 2007.
Beliau dipilih sebagai pengerusi pada 2011, jawatan yang disandangnya sehingga beliau meninggal dunia.
