Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masa depan Salah, Mane jadi tanda tanya

May 27, 2022 | 5:30 AM
ENGGAN BERI PENGESAHAN: Kontrak Salah bersama Liverpool akan luput pada Jun 2023. - Foto REUTERS
ENGGAN BERI PENGESAHAN: Kontrak Salah bersama Liverpool akan luput pada Jun 2023. - Foto REUTERS -

LONDON: Masa depan dua bintang Liverpool di kelab itu masih menjadi tanda tanya menjelang final Liga Juara-Juara Eropah di Paris pada hujung minggu ini.

Mohamed Salah dan Sadio Mane masing-masing menepis soalan wartawan tentang masa depan mereka di kelab itu baru-baru ini.

Salah, yang kontraknya bersama Liverpool luput pada Jun 2023, enggan memberi pengesahan sama ada beliau akan menandatangani kontrak baru apabila ditanya oleh seorang wartawan baru-baru ini.

Namun, beliau berkata adalah satu yang pasti beliau akan berada di kelab itu pada tahun depan.

Manakala Mane, yang berasal dari Senegal, berkata beliau akan mengumumkan keputusannya - sama ada untuk kekal bersama Liverpool atau beredar apabila kontraknya luput - selepas final Liga Juara-Juara.

Kontraknya dengan Liverpool, yang menjuarai Piala FA dan Piala Carabao musim ini, berbaki setahun selepas bulan depan.

Semasa berdepan dengan wartawan baru-baru ini, Salah, yang berasal dari Mesir, berkata:

"Saya tidak mahu bercakap tentang kontrak saya. Pada masa ini, saya hanya ingin melihat Hendo menjulang trofi Liga Juara-Juara pada Ahad ini."

"Itulah tumpuan saya... saya enggan bersikap pentingkan diri dan bercakap tentang diri saya sendiri."

Mane pula, yang telah mengakhiri musim dengan 'form' yang baik, telah menjaringkan 120 gol dalam 268 perlawanan bagi Liverpool.

Bercakap kepada Sky Sports News, Mane berkata:

"Persoalan tentang masa depan saya ini akan saya jawab selepas final Liga Juara-Juara nanti."

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berkata kesudahan perlawanan itu tidak akan menjejas keputusan pemain-pemain itu untuk kekal atau beredar dari Liverpool.

"Tidak sama sekali," kata Klopp, menepis cadangan sedemikian yang diajukan oleh seorang wartawan.

"Buat masa ini, kami sedang mengadakan perbincangan dengan semua pemain... tapi ini bukanlah masanya untuk bercakap tentang perkara itu.

"Tiada pemain yang tidak tahu apa yang sedang dirancangkan bagi mereka."

Salah menyertai Liverpool dari Roma pada 2017 dan menjaringkan 156 gol dalam 253 perlawanan bagi Liverpool.

Beliau telah membantu kelab itu memenangi Liga Perdana England (EPL) bagi musim 2019-20, Liga Juara-Juara 2019, Piala FA dan Piala Carabao musim ini; selain Piala Dunia Kelab Fifa dan Piala Super Uefa sejak 2017.

Pada Mac lalu, Klopp berkata keputusan hanya boleh dibuat oleh Salah sama ada beliau ingin menandatangani kontrak baru di Liverpool.

Awal dari itu, Salah, yang pernah meyarung jersi Chelsea dalam EPL, berkata beliau tidak membuat tuntutan yang keterlaluan dan berkata Liverpool harus membuat keputusan mengenai masa depannya di sana.

Ahad lalu, harapan Liverpool untuk memenangi EPL musim ini musnah selepas Manchester City menjamin tempat di puncak liga dengan kelebihan satu mata.

Final dengan Real Madrid di Paris pada Ahad ini mengulangi final Liga Juara-Juara 2018, yang dimenangi kelab La Liga Sepanyol itu, dengan Salah mengalami kecederaan di awal separuh masa pertama yang menyebabkan beliau digantikan.

Beliau mengalami kecederaan itu selepas dikasari Sergio Ramos, dalam insiden yang mencetus kontroversi.

Salah berkata beliau mempunyai keyakinan diri yang amat bagi final... terutama selepas apa yang berlaku pada 2018.

"Kami akan berjuang bermati-matian... semua orang ghairah berbuat demikian," kata beliau - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg