Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasa depan Sukan Komanwel kekal tanda tanya jelang ulang tahun ke-100
Masa depan Sukan Komanwel kekal tanda tanya jelang ulang tahun ke-100
Masa depan Sukan Komanwel kekal tanda tanya jelang ulang tahun ke-100
GLASGOW: Glasgow tampil menyelamatkan Sukan Komanwel 2026, namun model yang dikecilkan kepada 10 acara sukan sepanjang 10 hari penganjuran gagal melenyapkan keraguan berhubung masa depan temasya berkenaan.
Mula dianjurkan sebagai Sukan Empayar British pada 1930, temasya itu dilanda krisis pada 2023 apabila wilayah Victoria di Australia menarik diri daripada menjadi tuan rumah berikutan kos tinggi.
Glasgow yang pernah menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2014, tampil menawarkan penyelesaian cekap kos dengan memanfaatkan kemudahan serta lokasi sedia ada.
Temasya kali ini dijayakan dengan bajet sekadar £160 juta ($276 juta) berbanding £780 juta di Birmingham empat tahun lalu.
Bandar Ahmedabad di India telah diserahkan tanggungjawab sebagai tuan rumah bagi edisi ulang tahun ke-100 temasya sukan tersebut pada 2030, dengan program sukan dijangka ditambah semula kepada antara 15 dengan 17 acara sukan.
Dengan edisi Sukan Komanwel 2026 secara rasmi melabuhkan tirainya pada 2 Ogos, ia bukan sahaja meninggalkan pelbagai pelajaran, bahkan turut menjawab persoalan sama ada temasya ini masih relevan dalam landskap sukan moden.
Dianjurkan selang dua tahun sebelum dan selepas Sukan Olimpik, Sukan Komanwel sering menjadi batu loncatan bagi para atlet yang ingin menempa nama di peringkat antarabangsa.
“Sukan Komanwel merupakan temasya yang melahirkan para juara,” kata Presiden Sukan Komanwel, Donald Rukare.
Selepas menguasai acara 100m untuk merangkul pingat emas dalam antara acara paling berprestij pada temasya itu, atlet Cameroon, Emmanuel Eseme, berkata Sukan Komanwel empat tahun lalu telah menjadi pemangkin kepada kerjaya sukannya di peringkat elit.
“Sukan Komanwel ibarat satu pintu yang terbuka buat saya,” kata Eseme selepas mencatat masa 9.83 saat meskipun terpaksa beraksi di litar basah di Scotland.
“Segala-galanya bermula pada Sukan Komanwel lalu (2022) apabila saya memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 10.08 saat.
“Tiada siapa di negara saya pernah menyangka warga Cameroon mampu mencatat masa larian 10.08 saat, tetapi saya membuktikannya di Sukan Komanwel.
“Ia detik yang hebat, dan sejak itu segalanya berjalan dengan amat baik.”
Australia telah menguasai carta pungutan pingat dengan meraih lebih 171 pingat, termasuk 70 emas, diikuti England, Canada dan India.
Namun, Sukan Komanwel turut memberi peluang kepada negara dan wilayah lebih kecil serta kurang dikenali daripada 74 kontinjen yang bertanding untuk meraih kejayaan.
Jersey, Dominica dan Kepulauan Virgin British merupakan antara yang berjaya membawa pulang pingat emas dari Glasgow.
“Di sinilah segalanya bermula untuk saya, dan di sini juga mungkin tempat ia berakhir,” kata juara lompat kijang (triple jump) Olimpik dari Dominica, Thea LaFond.
“Peluang menjadi perintis buat Dominica memberikan satu perasaan yang amat luar biasa.”
Sifat keterangkuman temasya ini terus diperkukuh menerusi penganjuran program sukan para terbesar dalam sejarah, dengan enam acara sukan disepadukan secara penuh berbanding pengasingan antara Sukan Olimpik dengan Paralimpik.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Sukan Komanwel, Katie Sadleir, yakin masa depan temasya ini kekal cerah, dengan lebih banyak negara seperti New Zealand menyuarakan hasrat untuk menjadi tuan rumah bagi edisi 2034 dan seterusnya.
Namun, sejarah membuktikan bahawa bidaan yang berjaya sekalipun mungkin akan kecundang di tengah jalan.
Ini merupakan kali kedua berturut-turut Sukan Komanwel menyaksikan pertukaran tuan rumah, selepas Durban (Afrika Selatan) turut menarik diri daripada menjadi penganjur temasya 2022.
Hasrat India untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik buat kali pertama menjadi pendorong utama di sebalik pencalonan Ahmedabad.
Sebaliknya, dorongan untuk terus membiayai Sukan Komanwel selepas ulang tahun ke-100 penganjurannya masih belum jelas.
Kekurangan daya tarikan temasya ini dalam kalangan atlet turut terserlah menerusi tindakan beberapa nama besar yang memilih untuk tidak beraksi di Glasgow.
Ini termasuk atlet olahraga British, Keely Hodgkinson, yang memilih untuk tidak beraksi bagi mengutamakan Kejohanan Olahraga Eropah yang bakal berlangsung.
Juara Olimpik acara 100m wanita, Julien Alfred, serta atlet renang Canada, Summer McIntosh, merupakan antara bintang lain yang melepaskan saingan temasya kali ini.
Ketiadaan bintang-bintang tumpuan ini menyebabkan keadaan di stadium hambar dengan banyak tempat duduk kosong – satu keadaan yang jauh berbeza berbanding 12 tahun lalu apabila 1.3 juta tiket habis terjual di bandar sama.
Glasgow mungkin berjaya menyelamatkan kelangsungan Sukan Komanwel buat masa ini, namun kemampanan jangka panjang temasya berkenaan masih belum terjamin. – AFP
