Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mbappe 'kunci' robek pertahanan Uruguay

Cabaran bagi jentera serangan berbakat Perancis apabila berhadapan pertahanan paling kukuh di Piala Dunia ini
Jul 6, 2018 | 5:30 AM
JALANI LATIHAN: Barisan pemain Perancis termasuk bintang mudanya, Kylian Mbappe (hadapan), menjalani latihan menjelang pertemuan suku akhir menentang Uruguay hari ini. - Foto REUTERS
JALANI LATIHAN: Barisan pemain Perancis termasuk bintang mudanya, Kylian Mbappe (hadapan), menjalani latihan menjelang pertemuan suku akhir menentang Uruguay hari ini. - Foto REUTERS -

NIZHNY NOVGOROD (Russia): Bagaimana memastikan bintang penyerang mudanya Kylian Mbappe kerap menerima hantaran-hantaran bola dalam usaha menembusi benteng pertahanan Uruguay yang utuh sepanjang Piala Dunia ini.

Itulah mungkin yang mendapat tumpuan jurulatih Perancis, Didier Deschamps, menjelang pertemuan suku akhir antara dua gergasi itu di Stadium Nizhny Novgorod mulai 10 malam ini (waktu Singapura).

Penyerang remaja sensasi 'Les Blues' itu sudah pun mendapat perbandingan dengan legenda bola sepak dunia, Pele, terutama selepas kehebatan dua golnya semasa membenamkan Argentina 4-3 di pusingan 16 pasukan terakhir pada Sabtu lalu.

Tidak seperti Argentina, Uruguay bagaimanapun dijangka tidak akan begitu 'murah hati' memberikan bintang muda Paris Saint-Germain (PSG) itu banyak ruang bergerak dan Mbappe memerlukan sokongan rakan-rakannya lain dalam usaha menembusi benteng bekas juara Piala Dunia dua kali itu.

Peranan terbaik bagi memanfaatkan kepantasan serta sentuhan penyudah berbisanya kerap menimbulkan perdebatan sebelum bermulanya Piala Dunia ini tetapi ia tentunya satu 'masalah' yang baik bagi jurulatihnya.

"Saya tidak boleh mengeluh mempunyai beberapa pemain yang mampu beraksi dalam pelbagai posisi di barisan serangan pasukan," ujar Deschamps.

"Tetapi saya boleh memastikan mereka digunakan pada posisi terbaik masing-masing."

Sedang ramai pemerhati berpendapat Mbappe seharusnya diserahkan posisi klasik sebagai seorang penyerang tengah, Deschamps bagaimanapun dijangka meletakkan bintang muda berusia 19 tahun itu di sayap kanan, bagi membuka ruang kepada Olivier Giroud menyertai Antoine Griezmann dalam formasi tiga serangkai serangan.

Perancis memerlukan segala kekuatan serangannya jika berharap dapat menembusi benteng pertahanan Uruguay yang disifatkan antara paling kukuh di temasya Russia ini.

Gawang pasukan Amerika Selatan itu hanya dibolosi sekali dalam tujuh perlawanan terakhir dengan Diego Godin dan Jose Gimenez membentuk gandingan cemerlang di benteng pasukan itu.

Taktik Uruguay mungkin mudah diramal - menyukarkan pasukan lawan menembusi benteng pasukannya dan setiap kali mengawal bola, memastikan bola dihantar kepada dua penyerang kelas dunia yang dimiliki pasukan itu - Edinson Cavani dan Luis Suarez.

Cuma malangnya, Cavani kini sedang bergelut dengan masa untuk mengatasi kecederaan otot betis - jika beliau terkeluar, kemungkinan tempatnya digantikan Cristian Rodriguez. Pemain sayap kiri itu akan diminta memberi lebih sokongan kepada Suarez.

"Pasukan ini tidak bergantung pada seorang pemain sahaja. Uruguay telah membuktikan bahawa kami sebuah pasukan kolektif semasa berada di padang," ujar Rodriguez. - AFP, Reuters.

JADUAL

SUKU AKHIR 1: Uruguay lwn Perancis Singtel TV Sal 141 & StarHub TV Sal 222, 10 malam

SUKU AKHIR 2: Brazil lwn Belgium Singtel TV Sal 141 & StarHub TV Sal 222, 2 pagi esok

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg