PRESTASI persembahan menjadi keutamaan buat pesilat negara di edisi kelapan Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara pada hujung minggu ini, kata ketua pegawai eksekutif Persekutuan Silat Singapura (Persisi), Sheik Alau'ddin Yacoob Marican.
Ini sedang Persisi mengusahakan permohonan kepada Majlis Sukan Olimpik Singapura (SNOC) untuk menghantar lebih ramai atletnya bertanding di Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, pada 12 hingga 23 Mei nanti.
Dalam senarai atlet pilihan SNOC untuk mewakili Singapura bagi temasya sukan dwitahunan itu, hanya tiga pesilat yang disertakan. Mereka adalah pemenang pingat perak Sukan SEA 2019 Muhammad Iqbal Abdul Rahman; pemenang pingat gangsa Kejohanan Pencak Silat Asia 2019 Abdul Raaziq Abdul Rashid; dan juara dunia Sheik Farhan Sheik Alau'ddin.
Senarai itu diterbitkan pada 16 Februari lalu.
Namun, ia ketiadaan beberapa nama tetap dalam pasukan silat negara seperti pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 Muhammad Hazim Mohd Yusli; juara dunia Nurul Suhaila Mohd Saiful; dan pemenang pingat emas Kejohanan Pencak Silat Asia 2019 Siti Khadijah Mohd Shahrem.
Ketiga-tiga pesilat ini bagaimanapun dijadual bersaing di Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara 2022.
Kejohanan itu, yang bakal diadakan di Dewan Satu OCBC Arena mulai esok hingga 27 Februari, secara tradisi dilihat sebagai pertandingan persiapan menjelang Sukan SEA. Ia juga adalah kejohanan antarabangsa silat yang pertama diadakan sejak Covid-19 melanda sekitar dua tahun lalu.
Seramai 91 atlet dari lima negara - Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam - akan terlibat dalam kejohanan itu. Singapura menampilkan rombongan terbesar dengan 30 atlet.
Sejumlah 17 kategori bagi acara tanding dan seni di peringkat junior dan senior akan dipertandingkan.
Menjawab pertanyaan Berita Harian di sidang akhbar kejohanan itu di Hotel Grand Mercure Roxy pagi semalam, Sheik berkata: "Semua atlet sudah bersedia. Mereka telah berlatih bersungguh-sungguh dan tidak sabar untuk bersaing dalam kejohanan ini."
Beliau menambah bahawa sebahagian besar pesilat Singapura yang akan bertanding adalah atlet yang berada di tahap kedua dalam pasukan negara.
"Kami mahu lebih fokus pada persembahan mereka dan bukannya keputusan sahaja. Persembahan mereka akan menunjukkan sama ada mereka benar-benar mempunyai keinginan dan dahagakan kejayaan... untuk menjadi atlet terbaik mewakili Singapura di Sukan SEA Vietnam nanti," kongsinya.
Meskipun itu, Sheik menetapkan sasaran untuk meraih lebih tujuh pingat emas di kejohanan kali ini, mengatasi persembahan edisi 2018 apabila Singapura turut menjadi tuan rumah.
Edisi kali ini menjangkakan persaingan sengit antara kelima-lima negara dengan perubahan pada peraturan dalam kategori tanding, yang diluluskan pada Februari lalu. Peraturan itu memberi kelonggaran kepada pesaing ketika menarik pakaian lawan sambil mereka cuba melepaskan tumbukan atau tendangan demi meraih mata.
Sheik Farhan, 25 tahun, yang akan bertanding dalam kategori Tanding J, berkata: "Akhirnya kami dapat kembali bertanding. Dua tahun adalah masa yang sangat lama dan kami bersedia untuk hadapi apa jua saingan... pertandingan ini akan menunjukkan bagaimana peraturan baru itu menjejas pesilat elit seperti saya."
Bagi pesilat Indonesia, Asep Yuldan Sani, 29 tahun, yang bakal bertanding dalam kategori seni tunggal, kejohanan antarabangsa ini adalah yang pertama buatnya di luar negara.
"Latihan sentiasa maksimum tapi kurang pertandingan. Jadi, saya sangat senang dapat berada di sini dan tidak sabar untuk bersaing. Ia ujian baik bagi saya ke Sukan SEA nanti," kata juara Sukan Asia 2019 itu.
"Kami mahu lebih fokus pada persembahan mereka dan bukannya keputusan sahaja. Persembahan mereka akan menunjukkan sama ada mereka benar-benar mempunyai keinginan dan dahagakan kejayaan... untuk menjadi atlet terbaik mewakili Singapura di Sukan SEA Vietnam nanti." - Ketua pegawai eksekutif Persisi, Dr Sheik Alau'ddin Yacoob Marican.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg