SETIAP empat tahun, demam Piala Dunia melanda peminat bola sepak.
Ada yang sampai tidak cukup tidur untuk menonton perlawanan hingga ke awal pagi, dan ada pula yang tidak putus-putus tayang nama pasukan kegemaran dengan memakai jersi mereka.
Tetapi, bagi pasangan adik-beradik ini, mereka sebaliknya 'kemaruk' mengumpul pelekat Piala Dunia keluaran syarikat Italy, Panini.
Suhaimi Hanafi, 49 tahun, dan adiknya, Suhairi Hanafi, 39 tahun, telah mengumpul pelekat Piala Dunia sejak di bangku sekolah lagi dan kini masih mengekalkan minat mereka kepada kegiatan yang semakin jarang dilihat itu.
Suhaimi, seorang pereka grafik bersama Channel News Asia (CNA), mula berjinak-jinak dalam koleksi pelekat pada Piala Dunia 1986, yang ketika itu berlangsung di Mexico.
"Saya ingat lagi selepas saya berjaya habis kumpul semua pelekat dan hantar koleksi kepada Walter Agency (pengedar buku pelekat Piala Dunia Panini di Singapura). Saya terpilih untuk menang lampu suluh yang boleh diklip pada buku.
"Wah...Itu pertama kali saya menang apa-apa dalam hidup saya," imbas beliau sambil berkongsi koleksinya bersama Berita Harian (BH) di rumahnya di Choa Chu Kang baru-baru ini.
Sejak itu, Suhaimi tidak pernah terlepas mengumpul pelekat daripada setiap edisi kejohanan terbesar bola sepak tersebut.
"Bagi saya, saya lebih 'old-school'. Jadi, saya suka simpan benda secara fizikal," kata Suhaimi.
"Keseronokannya adalah apabila anda menampalkan pelekat pada album dan anda mencari pelekat yang anda tiada. Anda kemudian dapat menyelak muka surat dan membandingkan koleksi dengan kawan-kawan dan bertukar-tukar pelekat antara satu dengan lain.
"Menampal pelekat, terutamanya, sangat menenangkan fikiran buat saya."
Suhairi mengikut langkah abangnya pada 2014, meskipun penglibatan beliau dalam dunia koleksi pelekat bermula seawal usia 12 tahun dengan siri televisyen aksi wira, 'Power Rangers'.
Piala Dunia di Brazil itu adalah koleksi bola sepak sulungnya dan Suhairi kini pemilik beberapa buku pelekat bola sepak termasuk Piala Dunia dan kejohanan Euro Uefa.
"Apa yang saya ternanti-nanti setiap edisi Piala Dunia adalah reka bentuk album pelekat. Setiap Piala Dunia ada keunikan sendiri mengikut negara yang menjadi tuan rumah," kata pegawai projek di SP Group itu.
Edisi 2014 kekal menjadi kegemarannya, tambah beliau.
Suhaimi dan Suhairi, yang juga mempunyai seorang lagi adik-beradik lelaki antara mereka, berkongsi bahawa masa dan wang adalah dua perkara yang dikorbankan untuk bergiat dalam hobi ini.
Album Piala Dunia Qatar tahun ini merangkumi 670 pelekat untuk dikumpul.
Setiap pek berharga $1.50 di sini dan mempunyai lima pelekat secara rambang.
Pengumpul boleh bertukar-tukar pelekat antara satu dengan lain secara percuma. Mereka juga dapat membeli pelekat yang diinginkan daripada pengumpul lain pada harga 20 sen setiap pelekat.
Suhaimi dan Suhairi lazimnya mengambil kira-kira tiga bulan untuk melengkapkan setiap album.
Tetapi, dengan adanya teknologi dan media sosial, pertukaran pelekat kini lebih mudah, kata Suhaimi.
Terdapat kumpulan Facebook seperti Panini Swapsies Group - Singapore, yang menyatukan pengumpul di sini dan mereka dapat menguar-uarkan pelekat yang mereka mahu atau yang ingin mereka bertukar dengan pengumpul lain.
Sebelumnya, pengumpul kerap mengadakan perjumpaan dan bertemu secara fizikal.
Suhairi menambah bahawa komuniti pengumpul pelekat di Singapura masih lagi aktif dan merentas setiap lapisan usia, dengan sebahagian besar daripadanya merangkumi Generasi Y (dilahirkan di antara 1982 dengan 2000) dan Generasi X (dilahirkan di antara 1965 dengan 1981).
"Saya pernah ke satu pertemuan pelekat dan saya fikir orang muda yang akan datang, tapi terkejut melihat ada bapa-bapa, pakcik-pakcik malah mereka yang bergelar datuk...Saya juga pernah bertukar pelekat dengan warga asing dan makcik-makcik di sini," ujar beliau.
Dengan dunia kini semakin digital, hobi yang diceburi adik-beradik ini dianggap sebagai jarang ditemui. Namun begitu, duo itu masih melihat nilai pada minat mereka.
Suhaimi menambah: "Saya melakukan hobi ini untuk kebahagiaan peribadi. Ia sukar untuk mengajak golongan muda untuk minat padanya.
"Tapi, pernah sekali ketika saya menampal pelekat, isteri saya minta untuk turut serta. Saya pun membeli lagi 100 pelekat, dan isteri dan anak-anak bersama-sama bantu saya menampalkan pelekat di album."
WARTAWAN Zulaiqah Abdul Rahim dengan hos Shahidah Sarhid membincangkan segalanya mengenai bola sepak - sukan paling popular di Singapura - menjelang pertandingan Piala Dunia akhir tahun ini.
Adakah anda bersetuju atau tidak dengan penilaian beliau? Ikuti podcast Extra Time #NoTapis di Spotify dengan imbas kod QR atau lungsuri BH.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg