Subuh
5:56
Syuruk
7:17
Zuhur
1:19
Asar
4:41
Maghrib
7:20
Isyak
8:32

Impian Ardi ke Sukan SEA tercapai

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Sukan
30
0

MENJELANG SUKAN SEA 2022 : ATLET TUMPUAN

Impian Ardi ke Sukan SEA tercapai

Apr 24, 2022 | 06:51 AM

DARIPADA menonton atlet bersaing di Sukan SEA di kaca televisyen sewaktu kecil, kini giliran perenang negara Ardi Azman untuk mencipta gelombang di pentas sebenar temasya sukan berprestij Asia Tenggara itu.

Remaja ini sudah lebih sedekad menyimpan azam untuk mewakili Singapura di temasya sukan utama dan impian beliau akhirnya tercapai.

Ardi, 19 tahun, bakal membuat penampilan sulungnya dalam Sukan SEA pada 12-23 Mei ini di Hanoi, Vietnam.

Menceritakan detik itu bersama Berita Minggu (BM), pelajar tahun kedua dalam jurusan pemasaran di Politeknik Temasek itu berkata:

"Saya ingat lagi kali pertama saya menonton Sukan SEA di TV pada 2011, saya fikir ia menyeronokkan dapat bersaing dengan perenang terbaik dari Asia Tenggara.

"Sejak itu, saya tanam cita-cita untuk mewakili Singapura dalam pelbagai temasya sukan utama, termasuk Sukan SEA."

Tahun ini juga dianggap tahun cemerlang buat Ardi sejak bakatnya dicungkil di peringkat nasional sekolah-sekolah tiga tahun lalu. Beliau kemudian dipanggil ke pasukan nasional pada lewat 2020.

Di Undangan Kejohanan Renang Kumpulan Umur Kebangsaan Singapura ke-52 Mac lalu, Ardi menang pingat perak dalam acara gaya bebas 200 meter serta 400 meter.

Pada November tahun lalu, beliau merakam masa peribadi terbaiknya bagi acara gaya bebas 100 meter (48.99 saat) 200 meter (1:46.87) serta 400 meter (3:50.37) di Kejohanan Renang Nasional Singapura.

"Melihat persembahan saya sekarang berbanding sebelum menyertai pasukan nasional hujung 2020 selepas peperiksaan peringkat 'O' saya, ia meningkat secara drastik. Catatan masa saya semakin pantas dan hampir mencapai tahap nasional," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Outram itu.

Namun, perjalanan Ardi ke Sukan SEA sukar, dengan beliau perlu menyesuaikan diri kepada intensiti latihan yang lebih tinggi.

Ardi kini berlatih di kolam renang sembilan kali seminggu, termasuk dua sesi latihan sehari - sesi pagi (5.30 hingga 7.30 pagi) dan sesi petang (4.30 petang hingga 7 malam).

Selain itu, beliau juga harus menjalani sesi kekuatan di gimnasium pada setiap pagi Selasa dan Khamis.

Jadual latihan yang padat ini ditambah pula dengan pembelajaran di sekolah.

"Ia tidak pernah mudah, terutama kerana persiapan ke Sukan SEA ini berlaku sepanjang Ramadan.

"Saya kini berlatih dua kali sehari selain harus bangun awal untuk bersahur dan mengimbangi waktu tidur. Semester baru sekolah juga menambah kepada cabaran itu," kata Ardi.

Bagaimanapun, pengorbanan itu dianggap berbaloi untuk Ardi, yang mencipta detik istimewa sebagai perenang pertama dalam keluarganya berjaya ke Sukan SEA.

Ardi adalah anak kedua daripada tiga beradik lelaki, yang semuanya perenang kompetitif.

"Saya gembira dapat meraih pencapaian ini kerana ia bukan mudah untuk dipilih ke Sukan SEA," kata Ardi, yang diperkenalkan kepada sukan renang di usia empat tahun.

"Ibu bapa saya banyak berkorban. Mereka tidak pernah lelah untuk menghantar dan mengambil saya daripada latihan. Jadi, mereka tumpang rasa bangga."

Di Hanoi, Ardi akan bersaing dalam empat acara gaya bebas - individu 400 meter, 800 meter serta 1500 meter, dan pasukan berganti-ganti 4x200 meter.

Ditanya mengenai matlamatnya di Sukan SEA, Ardi menambah: "Saya akan hanya memandang Sukan SEA ini sebagai kejohanan biasa yang lain dan tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang sebarang pingat… Sasaran saya adalah untuk memperbaiki masa terbaik peribadi."

Awal minggu ini, Persatuan Renang Singapura mengumumkan skuad seramai 23 atlet bertanding di Sukan SEA bulan depan.

Ini termasuk satu-satunya pemenang pingat emas Sukan Olimpik Singapura, Joseph Schooling, serta perenang Sukan Olimpik lain, Quah Zheng Wen dan Quah Ting Wen.

Di Sukan SEA 2019 di Manila, Singapura mengutip 23 pingat emas, 10 pingat perak dan empat pingat gangsa dalam renang.


"Ia tidak pernah mudah, terutama kerana persiapan ke Sukan SEA ini berlaku sepanjang Ramadan. Saya kini berlatih dua kali sehari selain harus bangun awal untuk bersahur dan mengimbangi waktu tidur. Semester baru sekolah juga menambah kepada cabaran itu."
- Ardi Azman.


SKUAD RENANG SINGAPURA DI SUKAN SEA 2022

PERENANG WANITA:

1) Quah Ting Wen

2) Amanda Lim

3) Quah Jing Wen

4) Bonnie Yeo

5) Christie Chue

6) Gan Ching Hwee

7) Ashley Lim

8) Chan Zi Yi

9) Letitia Sim

PERENANG LELAKI:

1) Joseph Schooling

2) Quah Zheng Wen

3) Teong Tzen Wei

4) Pang Sheng Jun

5) Jonathan Tan

6) Glen Lim

7) Ardi Azman

8) Maximillian Ang

9) Gabriel Koo

10 ) Mitchell Ang

11) Mikkel Lee

12) Ong Jung Yi

13) Darren Chua

14) Ephraim Tan

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3