ROMBONGAN atlet negara yang bakal bertanding di Sukan SEA ke-31 di Vietnam pada Mei ini akan diketuai pasukan 'cef-de-mission' (CDM) yang dibentuk tiga bekas atlet nasional.

Bekas atlet taekwondo S. Sinnathurai, 50 tahun, yang juga juara Sukan SEA akan mengetuai pasukan itu.

Bekas pelari pecut negara Asmah Hanim, 37 tahun, dan bekas penembak negara Damien Ler, 42 tahun, akan berkhidmat sebagai penolong beliau.

Pelantikan mereka itu diumumkan oleh Majlis Olimpik Nasional Singapura (SNOC) dalam kenyataannya, semalam.

Ini selepas jawatankuasa pemilihan SNOC mengadakan pertemuan untuk memutuskan bilangan atlet yang akan dihantar ke Hanoi, Vietnam, dan juga jenis sukan yang akan disertai di sana.

Mengulas mengenai pelantikannya itu, Asmah, yang juga pernah berkhidmat sebagai pengurus pasukan atletik negara di Sukan Asia 2014 dan Sukan Olimpik Belia 2014, dan kini bertugas sebagai guru, berkata:

"Saya begitu ghairah kerana diberi peluang untuk menyertai Team Singapora sekali lagi.

"Saya berharap pengalaman saya sebagai seorang atlet, jurulatih dan pendidik akan membantu memberi nilai kepada pasukan dan memberi sumbangan bagi kempen Sukan SEA yang positif."

Sinnathurai melahirkan harapan untuk bekerjasama dengan Asmah dan Damien di Sukan SEA nanti.

"Pengalaman dan perjalanan saya sebagai atlet nasional... membantu bentuk keperibadian saya. Saya berharap atlet yang pergi ke Sukan SEA akan menikmati pengalman yang bermakna di Hanoi nanti dan merebut peluang ini untuk menjadi duta yang terpuji bagi negara," kata Sinnathurai, yang pernah memenangi pingat emas, perak dan gangsa Sukan SEA dalam acara kyorugi (flyweight).

Setiausaha Agung SNOC, Encik Chris Chan berkata:

"Pengalaman meluas yang dimiliki Sinnathurai, Asmah dan Damien, dan penglibatan mereka dengan sukan di Singapura dan atlet kita akan memberikan sokongan hebat bagi Team Singapore dalam perjalanan mereka di Sukan SEA.

"Kami yakin mereka berkeupayaan untuk memimpin Team Singapore di Sukan SEA nanti."

Temasya sukan dwitahunan itu dijadual diadakan dari 12-23 Mei.

Sejumlah 526 acara dari 40 sukan akan dianjurkan.

Di Sukan SEA terakhir di Filipina pada 2019, 659 atlet Team Singapore membawa pulang 53 emas, 46 perak dan 68 gangsa.

Menurut SNOC, ini adalah jumlah pingat terbesar bagi Team Singapore di Sukan SEA yang diadakan di luar negeri.

“

"Saya begitu ghairah kerana diberi peluang untuk menyertai Team Singapora sekali lagi. Saya berharap pengalaman saya sebagai seorang atlet, jurulatih dan pendidik akan membantu memberi nilai kepada pasukan dan memberi sumbangan bagi kempen Sukan SEA yang positif.'' - Bekas pelari pecut negara Asmah Hanim.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti