Liverpool sedang menunjukkan prestasi hebat musim ini dan skuad bimbingan Arne Slot itu dijangka memberi saingan hebat kepada lawan mereka, Chelsea, apabila kededua pasukan itu bertemu pada 20 Oktober ini.
Liverpool kini menduduki tangga teratas dan hanya dua gol yang membolosi pasukan itu dalam Liga Perdana England (EPL) setakat ini.
Pasukan yang juga dikenali sebagai The Reds itu mempunyai rekod baik dalam perlawanan menentang Chelsea, kerana mereka tidak tewas sejak 2021 setiap kali menentang lawan mereka itu.
Dengan sembilan kemenangan dalam 10 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan, Liverpool layak diberi perhatian dalam musim kali ini.
Chelsea juga telah memulakan musim dengan baik, menduduki tempat keempat setakat ini.
Pasukan bimbingan Enzo Maresca itu telah menjaringkan 16 gol dalam tujuh perlawanan setakat ini tetapi gawangnya telah dibolosi lapan kali.
Mereka telah menjaringkan gol dalam setiap perlawanan sejak hari pembukaan EPL, apabila mereka tewas 0-2 kepada Manchester City.
Dengan prestasi hebat Liverpool dan rekod pertahanan serta rekod jaringan cemerlang Chelsea, ini boleh menjadi perlawanan yang hampir seimbang.
Pasukan Liverpool yang merupakan tuan rumah dalam perlawanan ini telah menikmati permulaan yang baik dan hanya tewas sekali setakat ini.
Mereka mendahului kedua-dua Manchester City dan Arsenal dengan satu mata, dan berada di tengah-tengah tiga kemenangan berturut-turut.
Kekalahan Liverpool setakat ini berlaku semasa mereka tewas tipis 0-1 di tempat sendiri kepada Nottingham Forest pada September.
Sementara Chelsea yang juga dikenali sebagai The Blues baru tewas sekali dalam liga sejak musim kali ini bermula.
Bagaimanapun, mereka seri 1-1 di tempat sendiri semasa menentang Forest selepas tiga kemenangan berturut-turut.
Chelsea kini berada di tempat keempat, empat mata di belakang lawan mereka, Liverpool.
Namun hanya Manchester City yang menjaringkan lebih banyak gol berbanding Chelsea setakat musim ini.
Cole Palmer menjaringkan enam daripada 16 gol jaringan Chelsea, manakala Nicolas Jackson dan Noni Madueke terikat dengan empat jaringan.
Serangan Chelsea kelihatan amat sukar dibendung dan mereka telah menjaringkan sekurang-kurangnya tiga gol dalam tiga daripada tujuh perlawanan.
Chelsea memang bernasib baik setiap kali bermain di luar padang sendiri, Stamford Bridge, setakat ini, memenangi ketiga-tiga perlawanan mereka di padang lawan.
Namun Chelsea perlu sedar bahawa mereka akan berdepan dengan Liverpool yang dianggap sebuah pasukan yang digeruni pada masa ini, dan dengan benteng pertahanan kukuh dalam EPL.
Sejauh ini Liverpool memastikan gawang mereka tidak dibolosi dalam tujuh perlawanan dan akan berhadapan dengan Chelsea yang mempunyai antara pasukan serangan terbaik EPL.
Namun jentera pertahanan Chelsea tidak sekukuh Liverpool kerana The Blues hanya mempunyai dua perlawanan dengan gawang mereka tidak dibolosi.
Justeru Chelsea kini akan berhadapan ujian getir menentang salah satu pasukan dengan serangan menyengat dalam EPL.
Apatah lagi penyerang Liverpool, Mo Salah dan Luis Diaz, telah memulakan musim kali ini dengan cukup baik, menjaringkan sembilan gol sejauh ini. Salah empat gol dan Diaz lima gol.
Sejak 2022, kededua pasukan telah bertemu sebanyak lapan kali dalam semua pertandingan.
Statistik menunjukkan Chelsea tewas dalam kesemua perlawanan melibatkan Liverpool.
Kali terakhir Chelsea menang adalah pada 2021 di Anfield, apabila mereka tundukkan Liverpool 1-0.
Terkini kededua pasukan itu bertemu dalam final Piala EFL pada Februari dengan Liverpool menang 1-0 dalam masa tambahan.
Dalam lima perlawanan sebelum ini, Liverpool bermain dengan baik dan menang kesemua lima perlawanan tersebut.
Sementara Chelsea pula telah menang empat dan seri satu dalam lima perlawanan terakhir mereka sejauh ini.
Sudah pasti Chelsea ingin meneruskan rentak ini apatah lagi sedang mereka menunjukkan prestasi baik.
Berkaitan kecederaan, penjaga gawang Liverpool, Alisson, dikatakan tidak akan bermain atas sebab kecederaan.
Harvey Elliot pula dijangka kembali lewat bulan ini, namun tidak dapat dipastikan sekiranya beliau sudah bersedia untuk bermain dalam perlawanan ini.
Seorang pemain baru, Federico Chiesa, juga dijangka sedia untuk bermain dalam perlawanan ini.
Bagi Chelsea pula, Marc Cucurella dan Wesley Fofana dijangka tidak bermain kerana digantung selepas masing-masing mengumpul lima kad kuning.
Reece James merupakan satu-satunya pemain yang tidak akan diturunkan atas sebab kecederaan.
Ramalan wartawan: Liverpool 2-1 Chelsea


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg