Topic followed successfully
Go to BHkuMerantau ke Thai dan NZ demi cinta pada 'Muay Thai'
Merantau ke Thai dan NZ demi cinta pada 'Muay Thai'
Kini jurulatih sepenuh masa, warga SG pertama di gimnasium Evolve MMA (seni pertahan diri campuran)
Merantau ke Thai dan NZ demi cinta pada 'Muay Thai'
BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Dalam mengejar impiannya menjadi seorang atlet Muay Thai, Amir Gani sanggup mengharungi cabaran demi cabaran.
Ini termasuk bekerja sebagai petani untuk menyara hidup di negara asing.
Namun, kepayahan yang dilalui sepanjang 14 tahun berkecimpung dalam sukan itu dianggap berbaloi apabila Amir kini menjadi jurulatih sepenuh masa, warga Singapura pertama dan satu-satunya di gimnasium Evolve MMA (seni pertahan diri campuran).
Evolve MMA adalah gimnasium seni pertahan diri campuran nombor satu di Asia, yang menempatkan ramai juara dunia.
Ditanya Berita Minggu mengenai bagaimana beliau menggambarkan kerjayanya dalam Muay Thai selama ini, Amir, 34 tahun, ketika ditemui di gimnasium Evolve MMA di Far East Square baru-baru ini, berkata:
"Ia adalah satu perjalanan. Ia perjalanan yang membuka minda anda dan belajar perkara baru. Dalam mempelajari seni pertahan diri, ia tiada penghujungnya, sama seperti kehidupan. Setiap hari adalah proses pembelajaran."
Amir, yang minat pada sukan sejak di bangku sekolah lagi, mula sebagai seorang jurulatih kecergasan peribadi.
Namun tidak lama kemudian, beliau diperkenalkan kepada sukan Muay Thai ketika bertugas di sebuah gimnasium di sini dan jatuh cinta kepada seni pertahan diri itu.
Dan sejak itu, beliau tidak pernah menoleh ke belakang.
Pada 2012, Amir "membuat kerja gila" apabila beliau berhenti kerja di Singapura dan mengambil keputusan berpindah ke Phuket, Thailand, demi mengasah potensinya dalam Muay Thai.
"Hanya selepas tiga bulan di Thailand baru saya dapat pekerjaan di sebuah gimnasium di sana. Itu pun bukan untuk mengajar Muay Thai tetapi kelas kecergasan sahaja," kongsi Amir.
"Kehidupan di sana susah dan meletihkan tetapi saya rasa gembira dapat lakukan perkara yang saya benar-benar minat. Saya dapat hidup untuk berlatih, bekerja dan lawan dengan atlet Muay Thai tempatan di sana."
Amir bertahan selama tiga tahun di Thailand sebelum masalah kewangan di gimnasium tempat beliau bertugas membuka peluang untuk beliau ke destinasi seterusnya.
Beliau kemudian berpindah ke New Zealand, di mana beliau membina kerjaya profesionalnya, setelah disyorkan oleh seorang rakan.
Di sana, kehidupan beliau juga tidak lari daripada dihimpit cabaran.
Selain perlu menyesuaikan diri berlatih dalam cuaca sejuk, Amir juga harus mencari cara lain untuk menyara dirinya.
Pada sebelah pagi, beliau bekerja sebagai petani di kebun anggur manakala pada sebelah malam pula, beliau mengajar Muay Thai di sebuah gimnasium.
Meskipun sukar, Amir mengganggap pengalaman di luar negara ini sesuatu yang "sangat baik" dan "mengajarnya merendah hati".
Namun, tempohnya di New Zealand berakhir setelah dua setengah bulan. Kerjaya profesionalnya sebagai atlet Muay Thai disingkatkan selepas mengalami kecederaan dan ia membuat Amir mempertimbangkan masa depannya.
"Apabila anda berjauhan daripada keluarga, suasana boleh menjadi sunyi dan diselubungi kesedihan. Saya banyak berfikir tentang keadaan di Singapura dan ibu bapa saya ketika saya cedera," kata Amir.
Keputusan menjadi lebih jelas apabila pak ciknya meninggal dunia beberapa hari kemudian.
"Itulah titik perubahan buat saya. Saya tahu saya harus pulang ke pangkuan keluarga. Dan jika saya mahu teruskan Muay Thai, saya akan lakukannya di negara asal saya," kata anak bongsu dua beradik itu.
Sekembalinya di Singapura, Amir menjadi jurulatih di sebuah gimnasium Muay Thai sebelum peluang pekerjaan yang tidak dijangka muncul di depan mata.
Amir ditawarkan jawatan pe- nolong jurulatih di Evolve MMA dan dalam tempoh dua tahun, beliau dinaikkan pangkat menjadi jurulatih sepenuh masa pada 2019, warga Singapura pertama diberi pengiktirafan itu.
"Di Evolve, banyak yang telah saya pelajari daripada kakitangan jurulatihan yang bertaraf dunia. Ia mendorong saya melakukan yang terbaik dan mengasah generasi atlet Muay Thai seterusnya.
"Seni pertahan diri telah mengubah hidup saya dan saya harap mereka yang bergiat dalam sukan ini tidak akan putus asa walaupun perjalanannya mencabar," tambah bapa kepada seorang anak perempuan itu.

