LONDON: Srikandi tenis remaja dari Amerika Syarikat, Coco Gauff, berkata bintang sukan harus menggunakan pengaruh mereka untuk berjuang bagi keamanan dan perubahan sosial, mengulas mengenai insiden pembunuhan menggunakan senjata api di negaranya baru-baru ini.
Gauff, 18 tahun, berkata demikian sejurus selepas memenang separuh akhir Terbuka Perancis dan melangkah ke final pertandingan Grand Slam itu.
Beliau telah menulis pesanan itu di lensa kamera video di akhir perlawanan.
"Mesej itu adalah yang paling sesuai bagi saya, untuk saat itu. Saya berharap ia boleh mencetus perubahan dalam pemikiran sesetengah orang," kata beliau.
Minggu lalu, 19 kanak-kanak dan dua guru di Texas terkorban dalam insiden tembakan.
Kelmarin, seorang penembak lain menembak mati tiga pekerja dan seorang pesakit di sebuah hospital di Oklahoma.
Selepas beliau memenangi separuh akhir itu, Gauff telah berjalan ke kamera video untuk menulis pesanan - satu tradisi di kejohanan itu - dan menulis: Peace - end gun violence atau "Keamanan - akhiri keganasan senjata api".
"Sejujurnya, saya tidak tahu apa yang saya ingin tulis di kamera selepas perlawanan berakhir.
"Tapi saya menulis sesuatu yang dekat di hati saya," kata Gauff, pemain nombor ke-23 dunia.
"Pagi tadi, saya bangun tidur dan membaca tajuk akhbar yang menyatakan ada satu lagi insiden pembunuhan yang melibatkan senjata api... ini keadaan yang sukar dipercayai."
Gauff berkata beliau berasa selesa untuk meluahkan perasaannya tentang perkara ini kerana mendapat inspirasi daripada atlet lain seperti LeBron James, Serena Williams, Naomi Osaka dan Colin Kaepernick yang menggunakan pengaruh mereka sebagai tokoh sukan untuk mengorak perubahan.
"Saya rasa atlet sentiasa terkongkong... kerana sukan dan politik dianggap dua aspek berbeza.
"Saya setuju tetapi saya juga seorang manusia dan bukan sekadar pemain tenis. Tentunya saya akan bersuara jika ada sesuatu yang tidak kena yang dekat di hati.
"Malah, sukan telah memberi saya platform untuk bersuara kepada lebih ramai orang," kata Gauff.
Kemenangan Gauff ke atas Martina Trevisan dari Italy kelmarin, bermakna Gauff menjadi pemain paling muda untuk melangkah ke final di Roland Garros sejak Kim Clijsters berbuat demikian pada 2001.
Beliau akan bertemu pemain nombor satu dunia Iga Swiatek dalam final hari ini.
Swiatek, 21 tahun, adalah pemain pilihan utama untuk menjuarai Terbuka Perancis tahun ini, selepas memenangi 34 perlawanan dan lima kejohanan berturut-turut yang disertainya.
Namun, Gauff berkata beliau tetap yakin menjelang final ini.
"Saya akan bermain dengan sehendak hati dan saya rasa apa sahaja boleh berlaku di final Grand Slam.
"Beliau seseorang pemain yang tidak membuat banyak kesilapan dan mempunyai banyak senjata semasa perlawanan.
"Namun, saya tidak akan berhenti mencuba," kata Gauff. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg