Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Meski kurang pingat di Hangzhou, atlet S’pura sentuh hati, gambarkan masa depan

Oct 08, 2023 | 05:30 AM



“Heart to Heart @Future”, atau Hati ke Hati pada Masa Depan, adalah kata-kata yang dijadikan panduan untuk Sukan Asia Hangzhou.


Perkataan yang sama dalam cogan kata itu – hati dan masa depan – juga dapat digunakan untuk menyimpulkan kempen pasukan Singapura sepanjang 19 hari bertanding dalam edisi ke-19 temasya sukan itu di Hangzhou, China.

Walaupun pungutan pingat kali ini tidak berjaya menandingi jumlah dalam edisi lalu di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada 2018, atlet Singapura rata-rata telah memaparkan prestasi yang menyentuh hati, sekali gus menunjukkan gambaran masa depan sukan negara.

Di Hangzhou, Singapura hanya mampu menggondol tiga emas, enam perak dan tujuh gangsa.

Kutipan pingat itu kurang berbanding edisi 2018, dengan pasukan Singapura membawa pulang empat emas, empat perak dan 14 gangsa.

Ini meskipun Singapura telah menghantar kontinjen terbesarnya ke temasya sukan empat tahun sekali itu kali ini.

Seramai 427 atlet Singapura merentasi 32 sukan telah bersaing di Hangzhou.

Daripada jumlah itu, 334 atlet – atau kira-kira 78 peratus – membuat penampilan sulung mereka di Sukan Asia.

Atlet negara dalam sukan bola sepak wanita, ragbi tujuh sepasukan lelaki, besbol lelaki, berbasikal, e-sukan dan luncur roda, antara lain, juga pertama kali diperkenalkan di pentas terbesar Asia itu.

Antara wajah baru itu, sembilan berjaya merangkul pingat dalam Sukan Asia Hangzhou.

Peluncur lelayang, Maximilian Maeder, 17 tahun, memenangi pingat emas pertama Singapura di Hangzhou.

Sebagai juara dunia belia tiga kali, tekanan terletak di bahu Maeder untuk merangkul pingat emas di Sukan Asia.

Namun, remaja itu tidak gentar dan sebaliknya, dalam laporan The Straits Times (ST), berkata:


“Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak kena atau anda mendapat nasib malang, anda masih ahli pasukan yang hebat dan anda tidak mempunyai tekanan untuk perlu beraksi cemerlang, tetapi anda berkata ‘Saya ada bersama anda. Jika apa yang buruk berlaku, saya masih di sini untuk menyokong anda’.”

Pelayar kapal, Denise Lim, 32 tahun (Nacra 17), dan Isaac Goh, 16 tahun (ILCA4 Budak Lelaki), berjaya meraih pingat perak, manakala Victoria Chan, 32 tahun (ILCA6 Wanita), dan Keira Carlyle, 17 tahun (ILCA4 Budak Perempuan), memperoleh pingat gangsa.

Atlet wushu, Kimberly Ong, 20 tahun, pula mendapat pingat gangsa dalam acara changquan wanita pada percubaan pertamanya.

Permainan kad ‘contract bridge’ juga menyumbang dua butir gangsa menerusi pasukan campuran serta wanitanya.

Gideon Tan, 38 tahun, Jazlene Ong, 28, dan Li Lan, 31 tahun, membentuk sebahagian daripada kededua pasukan itu dalam aksi sulung Sukan Asia mereka.

Ada muka baru yang hampir naik ke podium.

Perenang Letitia Sim dan atlet jiu-jitsu Noah Lim boleh menceritakan kekecewaan mereka. 

Sim, 20 tahun, terlepas memenangi pingat gangsa sebanyak tiga kali dalam acara kuak dada 50 meter dan 200 meter wanita, dan berganti-ganti berbilang gaya 4x100 meter campuran.

Saguhatinya adalah catatan rekod kebangsaan dalam ketiga-tiga acara itu dan kuak dada 100 meter.

“Saya tidak berlatih untuk mendapat tempat keempat,” kata Sim kepada ST. 

Lim, 21 tahun, pula nyaris tewas 0-2 dalam perlawanan pingat gangsa acara bawah 69 kilogram lelaki di tangan Aldiyar Serik dari Kazakhstan. 

Warga Singapura itu mungkin pulang dengan sedikit rasa kesal tetapi pasti lebih bersemangat untuk memperbaiki prestasinya.

Dalam kalangan atlet baru ini, ada pula yang datang ke Hangzhou dengan misi membuka lembaran baru untuk sukan mereka sambil meraih pendedahan di tahap yang lebih tinggi.

Sama ada pengalaman yang ditimba itu adalah pahit atau manis, itu belakang kira.

Yang diutamakan adalah memberikan usaha yang terbaik mereka.

Pelari pecut Marc Brian Louis terkandas pada pusingan separuh akhir 100 meter lelaki.

Bagaimanapun, senyuman lebar dilihat pada raut wajahnya selepas mencatat masa 10.27 saat dalam perlumbaan di Stadium Pusat Olimpik Hangzhou itu.

Masa itu gagal membawa Louis, 21 tahun, ke final tetapi telah berjaya memecah rekod kebangsaan selama 22 tahun yang dimiliki UK Shyam (10.37 saat) dalam acara tersebut.

Untuk pasukan bola sepak wanita, kempen sulung mereka lebih berlangkah kiri namun tetap cukup bermakna. 

Dua kali mereka menentang Korea Utara di Stadium Pusat Sukan Wenzhou, dua kali mereka dibelasah teruk.

Kemusnahan keseluruhannya adalah 17 gol yang dibolos skuad muda Singa wanita dengan purata usia 22.9 tahun.

Penyerang Singapura, Farhanah Ruhaizat, memberitahu Berita Minggu (BM) bahawa pengalaman berdepan juara tiga kali Piala Asia itu adalah “mengerikan, mengejutkan dan membuka mata”.


“Tetapi, perkara yang saya pelajari daripada pengalaman ini adalah mengetahui betapa berani setiap pemain dan sejauh mana kemampuan kami, meskipun menentang pasukan 10 terbaik dunia,” tambah beliau.

Kalah menang adat pertandingan.

Tetapi, dalam pertandingan, kadangkala kita lupa jarang ada peserta yang kali pertama masuk bertanding dan terus jadi juara.

Ia mengambil masa. 

Ia memerlukan pengalaman untuk merasakan kekalahan sebelum menikmati kemenangan.

Pencapaian pelari pecut Singapura Shanti Pereira di Sukan Asia Hangzhou – yang menggondol sebutir emas dan perak, sekali gus menamatkan kemarau 49 tahun pingat olahraga negara – telah membuktikannya.

Usaha gigih, perubahan pada mentaliti dan pengorbanan yang besar menjadi resipi untuk mencapai kejayaan.

Kisah Pereira menunjukkan perjalanan seorang atlet pasti ada pasang surutnya.

Tetapi, tiada apa yang mustahil selagi ada kemahuan untuk berjaya.

Apabila temasya sukan Hangzhou melabuh tirainya pada Ahad malam, kempen pasukan Singapura mungkin dianggap kurang mengagumkan dengan pungutan pingat negara tidak setimpal dengan bilangan atlet yang bertanding.

Namun, usaha atlet kita tidak boleh diketepikan dan dipandang remeh.

Dalam sukan, setiap pertandingan, sama ada kalah atau menang, terkandung pengajaran terbesar untuk seorang atlet.

Kebanyakan muka baru kali ini juga masih lagi muda.

Usia masih berpihak pada mereka.

Berikan mereka lagi tiga tahun.

Detik mereka untuk bersinar mungkin akan muncul pada 2026 dalam Sukan Asia Nagoya di Jepun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >