Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mick Schumacher: Bapa inspirasi saya, pemandu terhebat

Sep 18, 2021 | 5:30 AM
TERBAIK: Pemandu pasukan F1, Mick Schumacher (atas) berkata bapanya, Michael Schumacher adalah antara pemandu terbaik dalam sukan itu, tidak kira apa pencapaian Lewis Hamilton sekalipun. - Foto AFP, fail
TERBAIK: Pemandu pasukan F1, Mick Schumacher (atas) berkata bapanya, Michael Schumacher adalah antara pemandu terbaik dalam sukan itu, tidak kira apa pencapaian Lewis Hamilton sekalipun. - Foto AFP, fail -

MUNICH: Pemandu Formula Satu (F1) Mick Schumacher berkata bapanya Michael adalah pemandu terbaik dalam sejarah sukan itu dan sebarang pencapaian Lewis Hamilton tidak boleh menandinginya.

Hamilton memenangi kejuaraan F1 ketujuh pada musim lalu, sama dengan jumlah kejuaraan yang dimenangi Michael dalam kerjayanya.

Buat masa ini, Hamilton, yang memandu bagi pasukan Mercedes, sedang bersaing sengit untuk memenangi kejuaraan musim ini dengan Max Verstappen dari Red Bull.

"Bapa saya adalah pemandu terhebat dalam sejarah F1," kata Schumacher, 22 tahun.

"Namun, melebihi itu, beliau juga adalah bapa terbaik di dunia."

Michael, 52 tahun, mengalami kecederaan dalam satu kemalangan semasa bercuti di resort ski pada Disember 2013.

Menyusuli itu, beliau ditidurkan dalam koma kerana didapati mengalami kecederaan otak yang teruk.

Keluarganya telah berkata keadaan Michael tidak akan didedahkan kerana ia adalah suatu yag dikehendaki Michael.

Awal minggu ini, isteri Michael, Corinna berkata suaminya itu kini berbeza, tetapi beliau sedang meneruskan rawatan pemuliharaan.

Namun, mereka telah memberi sokongan kepada sebuah dokumentari baru di Netflix yang menampilkan beberapa keluarga rapat seperti Mick dan adik perempuannya Gina-Maria, serta pemandu F1 Sebastien Vettel.

Dalam wawancara dengan BBC Radio 5 baru-baru ini, Schumacher berkata kejayaan bapanya layak diiktiraf melalui projek seperti dokumentari itu.

"Saya yakin beliau layak menerima semua pengiktirafan dan jika kita bersama-sama berkongsi pengalaman, dalam jangka panjang, kita akan menjadi lebih berwibawa dalam berkongsi pengalaman itu."

"Dokumentari ini akan menunjukkan semua orang betapa banyak beliau telah berjasa kepada F1," ujar Schumacher.

Buat masa ini, Schumacher, yang sedang beraksi dalam musim F1 pertama, belum lagi memenangi sebarang mata di litar.

Namun beliau berkata keadaan ini akan berubah apabila beliau telah menimba lebih banyak pengalaman.

"Saya sedang gigih menambah pengetahuan setiap hujung minggu dan saya tahu saya sedang beraksi lebih baik dari minggu ke minggu. Buat masa ini, saya ingin melihat sendiri bagaimana saya boleh menggunakan pengalaman yang ditambah ini untuk mempertingkat cara saya berlumba," kata Schumacher.

"Pada awalnya saya jangka hidup dalam F1 akan memberikan saya banyak tekanan.

"Namun saya berasa begitu selesa berlumba dalam F1 dan boleh menangani sebarang stres yang muncul," kata beliau. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg