Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Minat bola sepak sejak kecil bawa Yasmine ke Amerika

Aug 12, 2023 | 05:30 AM



Lapan pemain bola sepak belia Singapura yang berbakat besar menerima Biasiswa Luar Negara pertama di bawah projek bola sepak nasional Unleash the Roar! (UTR!). Dengan biasiswa ini, mereka berpeluang belajar dan berlatih sepenuh masa di akademi ESC LaLiga & NBA di Sepanyol dan Akademi IMG di Amerika Syarikat. Ikuti persiapan dan harapan dua daripada lima pelajar Akademi IMG yang bakal berangkat ke Florida, Amerika pada 13 Ogos.


Kata-kata ‘budak perempuan tidak boleh bermain bola sepak’ tidak wujud dalam keluarga ini.

Malah, ketika Berita Harian tiba di depan rumah pemain bola sepak wanita nasional bawah 19 tahun Singapura Yasmine Zaharin, sebiji bola sepak seolah-olah yang pertama menyambut ketibaan wartawan berserta jurugambar.


Apabila masuk pula ke dalam rumah teresnya di Sembawang, pelbagai pingat, trofi, cek kemenangan bersaiz besar serta bendera kecil daripada pasukan bola sepak luar negara menghiasi tembok di tepi tangga.

Jelas, bola sepak dan Yasmine, 16 tahun, tidak dapat dipisahkan.

Lepasan Sekolah Perempuan Cedar ini bahkan akan “makan, tidur dan bermain” bola sepak apabila dia berlepas ke Florida, Amerika Syarikat, pada 13 Ogos untuk memburu cita-citanya dalam sukan itu.

Dia akan belajar dan berlatih sepenuh masa di Akademi IMG selama tiga tahun sebagai penerima Biasiswa Luar Negara pertama di bawah projek bola sepak nasional, Unleash the Roar! (UTR!). 

UTR! ialah pelan jangka panjang untuk meningkatkan ekosistem bola sepak dan menyokong aspirasi bersama negara dalam bola sepak.

“Saya tidak pernah menyangka saya dapat sampai ke tahap ini dalam bidang bola sepak sebab semasa saya kecil, saya juga menyertai sukan balapan dan padang,” kata Yasmine, yang menganggap peluang ke Akademi IMG sebagai impian menjadi nyata.

“Biasiswa ini adalah peluang baik untuk saya mengejar kerjaya sebenar dalam bola sepak kerana ia akan benar-benar membantu saya menjadi pemain lebih baik.” tambahnya. 

Pengaruh besar Yasmine dalam bola sepak ialah kakaknya, Nadya Zaharin, 20 tahun, yang memperkenalkan sukan itu kepadanya pada usianya seawal lapan tahun. 

“Sebagai adik, saya hanya ikut sahaja kakak saya. Tetapi, selepas menjalani latihan pertama kami di Akademi First Kick, saya menyedari bahawa bola sepak sebenarnya menyeronokkan,” kata Yasmine, anak bongsu daripada dua adik-beradik itu.

Pada ketika itu, tiada akademi khusus untuk pemain perempuan.

Justeru beliau meneruskan latihan meskipun harus bermain dengan budak lelaki.

“Walaupun saya berlatih dengan pemain lelaki, ia tidak membuatkan diri saya rasa dipinggirkan… ia sebaliknya menjadikan saya pemain yang lebih baik kerana mereka lebih pantas dan berkemahiran,” kata pemain pertahanan itu, yang kini berlatih dalam pasukan bola sepak bawah 16 tahun Akademi Bola Sepak Lion City Sailors.

Dia kini menyarung jersi kelab Liga Perdana Wanita, Geylang International, bersama kakaknya.

Yasmine sejauh ini telah mengambil bahagian dalam lebih 40 pertandingan di dalam dan luar negara.

Bagi ibu bapanya, Encik Zaharin Ismail, 50 tahun, dan Cik Shadidah Mokhtar, 49 tahun, minat kededua anak perempuan mereka pada bola sepak terpupuk dengan sendirinya dan tanpa paksaan.

Dorongan itu bermula semasa Piala Dunia 2014 yang dibintangi pemain Brazil Neymar.

“Dia (Yasmine) tidak pernah mengadu dan berkata dia tidak lagi mahu berlatih bola sepak. Jadi, selagi masih ada motivasi, selagi masih ada minat, kami akan menyokong dia sejauh mana yang mungkin,” kata Cik Shadidah, seorang guru.

Bagi Encik Zaharin, Biasiswa Luar Negara UTR ialah satu peluang baik untuk Yasmine mengembangkan sayapnya ke luar negara, terutamanya di Amerika yang mempunyai program pembangunan bola sepak wanita yang mantap.

“Kami percaya bahawa dalam beberapa tahun akan datang, dia akan pulang menjadi individu yang lebih matang. Apa yang dia harus lakukan ialah fokus dan berusaha gigih… supaya dapat meraih manfaat daripada pengalaman di sana,” kata kakitangan awam itu.

Sejak beberapa minggu lalu, Yasmine sibuk membuat persiapan akhirnya sebelum ke Amerika.

Ini termasuk meluangkan masa bersama keluarga dan mengunjungi guru di sekolah tadika dan sekolah rendahnya.

Cik Shadidah berkata lawatan itu ialah untuk memberi penghargaan kepada gurunya dan mengingatkan Yasmine bagaimana menyesuaikan diri dalam persekitaran baru.

Ditanya wartawan apa yang dia akan rindukan tentang Singapura, Yasmine berkata:

“Saya pastinya akan rindu masakan nenek saya seperti pulut dan rendang daging.” 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >