Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Moyes kini miliki 'sentuhan emas'

Bimbing West Ham ke pertandingan Eropah musim lalu dan tewaskan kelab-kelab handal EPL musim ini
Nov 15, 2021 | 05:30 AM



LONDON: Musim ini sahaja pengurus West Ham United, David Moyes, telah memimpin pasukannya menewaskan Manchester United, Manchester City, Liverpool, Tottenham Hotspurs dan Leicester City.



Pasukan London itu kini menduduki tangga ketiga Liga Perdana England (EPL), berkongsi 23 mata dengan pasukan di tangga kedua, Manchester City, dan hanya tiga mata di belakang pendahulu liga, Chelsea.



Kecemerlangan pasukan Hammers itu musim ini merupakan kesinambungan kemajuan yang ditunjuknya musim lalu, apabila kelab tersebut berjaya melayakkan diri ke pertandingan Eropah, meskipun baru musim sebelumnya ia bergelut dengan kemungkinan disingkirkan daripada EPL.



"Ia merupakan satu pencapaian menakjubkan," kata bekas pemain Everton, Leon Osman, yang mewakili kelab itu semasa Moyes menjadi jurulatihnya.



"Kami semua tahu David Moyes ialah seorang jurulatih cekap, tiada siapa yang dapat menafikan. Saya melihat sendiri kebolehan beliau di Everton. Kami merupakan pasukan yang dihormati meskipun dengan sumber terhad. Moyes sentiasa memastikan kami dapat memberi persembahan baik dan bersaing dengan kelab-kelab lebih kaya.



"Di Everton, beliau akan sentiasa dikenang sebagai seorang legenda," tambah Osman.



Malangnya, pencapaian cemerlang Moyes di Everton yang mendorong pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson, memilih beliau sebagai penggantinya tidak mencapai hasil yang diharapkan semua pihak.



Moyes dipecat sebelum setahun di teraju Old Trafford, dengan United mengakhiri musim di tangga ketujuh.



Seorang legenda United yang menjadi sebahagian daripada skuad Moyes ketika itu, Patrice Evra, berkata semua pemain kelab tersebut mahukan Moyes berjaya.



Malangnya, ketika itu, membuat peralihan daripada Everton ke sebuah kelab global seperti United tampak sebagai langkah yang terlalu besar bagi pengurus itu.



"Saya masih ingat kali pertama Moyes berucap kepada seluruh skuad. Beliau mengatakan kami semua adalah juara dan beliau mahu kami mengajarnya cara menjadi juara.



"Ketika itu saya terfikir, ini satu langkah salah. Kami baru sahaja berpisah dengan pengurus yang merupakan yang terbaik dalam dunia bola sepak, walaupun kami semua berpengalaman, keadaan masih tidak menentu.



"Kami perlu diberi keyakinan



bukan kesedaran bahawa daripada yang terbaik di dunia, kami kini mempunyai pengurus yang langsung tidak berpengalaman sebagai seorang juara," ujar Evra.



Mengakui hakikat itu, bekas pengurus Tottenham Hotspurs dan England, Glenn Hoddle, berpendapat Moyes juga silap dengan membawa bersamanya pasukan jurulatih daripada Everton bagi menggantikan pasukan jurulatih di United.



Menurut beliau, Moyes seharusnya sedar tugas mencabar yang dihadapinya. Dan beliau memerlukan beberapa individu penting daripada era Ferguson untuk memberi bimbingan dan nasihat kepada beliau.



"Di samping itu, faktor lain, terutama kegagalan kelab itu memastikan pemain yang disasarkan Moyes dapat dibawa masuk ke United juga satu lagi punca kegagalan beliau.



"Seharusnya mereka sedar adalah kritikal untuk memberi sokongan penuh kepada pengurus baru dalam tempoh peralihan penting itu. Tapi mereka hanya membawa Marouane Fellaini pada saat-saat akhir, satu pemindahan yang tidak begitu menghairahkan atau memberi keyakinan kepada pemain dan penyokong United," tambah Hoddle.



Selepas United, Moyes diberi kepercayaan memimpin beberapa kelab lain sebelum akhirnya diberi jawatan di West Ham.



Beliau dilantik dengan kontrak jangka pendek bagi menggantikan Slaven Bilin pada November 2017, ketika kelab itu berada di tangga ke-18 dan berdepan risiko disingkirkan ke liga Championship.



Namun, Moyes berjaya menyelamatkan West Ham, yang mengakhiri musim itu di tangga ke-13.



Bagaimanapun, pada musim seterusnya, West Ham memutuskan melantik bekas pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini.



Dengan kadar kemenangan kurang 35 peratus, pengurus asal Argentina itu dipecat pada Disember 2019, sekali gus merintis jalan bagi Moyes kembali ke West Ham.



"Saya rasa pihak pengurusan West Ham telah melihat apa yang boleh dilakukan Moyes dalam tempoh singkat, dan mereka terfikir, apa lagi yang boleh dilakukan beliau jika diberi masa, sokongan dan kepercayaan.. .dan sekarang mereka meraih manfaatnya," kata bekas penyerang Liverpool dan England, Michael Owen.



"Bagi saya, West Ham adalah pasukan yang paling menarik untuk ditonton dalam liga sekarang. Mereka mantap di bahagian pertahanan dan midfield, dan begitu berbahaya apabila menyerang.



"Saya benar-benar berharap mereka dapat mengekalkan form ini bagi seluruh musim kerana saya ghairah melihat di mana mereka akan berada pada akhir musim, kerana pasukan ini benar-benar berbakat dan berpotensi," tambah Owen.



Justeru, apakah Moyes bersedia meneraju kelab gergasi seperti United tidak lama lagi?



Jawapannya masih berbelah-bagi, kata Hoddle.



"Ada pengurus cemerlang apabila berdepan keadaan mencabar, sumber agak terhad dan apabila tugas mereka hanya fokus pada padang latihan dan kemudian perlawanan seterusnya.



"Di kelab-kelab gergasi, anda perlu menangani ego pemain bintang, dinamik dalam skuad apabila pemain bertaraf dunia hanya duduk di bangku simpanan, dan kemudian tekanan daripada media global.



"Buat masa ini, Moyes nampaknya lebih sesuai bagi kelab seperti West Ham, ya mereka adalah kelab yang besar, lebih besar mungkin daripada Everton. Tapi bukan sebuah organisasi global seperti Manchester United. Itu pandangan saya," ujar beliau.



Osman, bagaimanapun, tidak ragu-ragu bahawa Moyes mampu cemerlang di mana-mana kelab, berbekalkan pengalamannya sejak meinggalkan Everton.



"Saya rasa beliau lebih matang sekarang sebagai seorang pengurus bertaraf dunia. Beliau juga seorang yang jujur dan pastinya akan menyedari kesilapan yang dilakukan sebelum ini, atau tindakan yang seharusnya beliau ambil.



"Bagi saya, West Ham hanyalah batu loncatan bagi beliau," kata Osman lagi. - Agensi berita.




Saya rasa beliau lebih matang sekarang sebagai seorang pengurus bertaraf dunia. Beliau juga seorang yang jujur dan pastinya akan menyedari kesilapan yang dilakukan sebelum ini, atau tindakan yang seharusnya beliau ambil. Bagi saya, West Ham hanyalah batu loncatan bagi beliau.
- Leon Osman, yang bermain bagi Everton semasa David Moyes menjadi jurulatihnya.



Bagi saya, West Ham adalah pasukan yang paling menarik untuk ditonton dalam liga sekarang. Mereka mantap di bahagian pertahanan dan midfield, dan begitu berbahaya apabila menyerang.
- Michael Owen, bekas penyerang Liverpool dan England.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >