BOLA sepak tanpa tekanan adalah tidak penting, kata jurulatih baru Lion City Sailors, Risto Vidakovic.
Warga Serbia itu, yang dilantik pada Disember menggantikan jurulatih sementara Luka Lalic, mengalu-alukan tekanan ketika beliau melayarkan bahtera satu-satunya kelab privet bola sepak Singapura kembali ke kegemilangan selepas musim yang hambar pada 2022.
Kelab yang berbelanja besar itu gagal mempertahankan mahkotanya kepada Albirex Niigata dalam Liga Perdana Singapura (SPL) dan tersingkir daripada Piala Singapura pada peringkat kumpulan.
Kempen domestik mereka yang mengecewakan itu ditambah pula dengan kelembapan ekonomi yang melanda pemilik Sailors, Sea Limited, iaitu syarikat Internet pengguna terbesar Singapura.
"Tekanan sentiasa ada dalam bola sepak. Ia sentiasa ada di mana-mana. Saya fikir bola sepak tanpa tekanan tidaklah begitu penting. Ia tidak menarik," kata Vidakovic.
Beliau pernah mengendalikan beberapa kelab Asean - Melaka United (Malaysia), Borneo FC Samarinda (Indonesia) dan Ceres (Filipina) - dan juga di Sepanyol, antaranya pasukan simpanan Real Betis.
Sailors memulakan kempen SPL 2023 mereka menentang Tanjong Pagar United pada Jumaat di laman sendiri Stadium Bishan.
"Kami sedang bersiap sedia untuk berjuang bagi semua kemungkinan - daripada liga hingga ke Piala Singapura. Semua orang menjangkakan kami untuk beratas di atas dan mencabar kejuaraan liga dan saya akan mengharunginya hari demi hari, satu perlawanan pada setiap masa.
"Saya gembira dengan prestasi pasukan dan secara taktikal, kami sedang berusaha dengan baik. Tetapi, masih ada banyak perkara yang boleh diperbaiki...ia akan menjadi perjalanan yang panjang," tambah beliau.
Skuad Sailors telah dibaik pulih musim ini selepas sekurang-kurangnya 10 pemain pasukan utama meninggalkan kelab. Mereka merekrut penjaga gol Zharfan Rohaizad; pemain pertahanan Lional Tan; pemain bek sayap Christopher van Huizen; pemain sayap Shawal Anuar; dan duo Young Lions Abdul Rasaq dan Danish Qayyum.
Dengan skuad dan jurulatih baru musim ini, timbul juga sikap optimis di kem Sailors. Kapten Sailors, Hariss Harun menyuarakan sentimen itu.
"Kelab mengambil pendekatan dan arah berbeza kali ini. Pemain baru yang dibawa masuk adalah lebih muda. Mereka mempunyai banyak potensi.
"Jadi, saya fikir kelab melihat mereka sebagai pemain yang dapat beraksi baik di atas padang dan membawa kelab ke tahap lebih tinggi pada tahun mendatang. Proses itu bermula sekarang malah sudah bermula," kata pemain Singa berusia 32 tahun itu.
Mengulas mengenai jangkaan tinggi untuk Sailors merebut trofi liga setiap tahun, Hariss menambah:
"Tekanan untuk kami menang sentiasa ada. Tetapi, saya percaya tiada mana-mana pasukan yang sentiasa berada di atas. Ia adalah pada saat-saat di bawah yang anda akan banyak belajar...Kami akan cuba memperbaiki diri, memperbetulkan kesilapan musim lalu dan sasar memberikan pengakhiran musim yang lebih baik."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg