Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Musim F1 2024 dijangka penuh emosi: Hamilton

Pemandu Mercedes bertekad tewaskan Ferrari musim ini walau akan menyertainya pada 2025
Feb 29, 2024 | 2:54 PM
Pemandu Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton (kanan), bersama pemandu Scuderia Ferrari, Carlos Sainz, dalam satu sidang media menjelang Grand Prix Bahrain.
Pemandu Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton (kanan), bersama pemandu Scuderia Ferrari, Carlos Sainz, dalam satu sidang media menjelang Grand Prix Bahrain. - Foto EPA-EFE

SAKHIR (Bahrain): Mencabar dan penuh emosi. Itulah yang dijangka juara dunia tujuh kali Formula 1 (F1), Lewis Hamilton, bagi musim 2024.

Beliau berkata demikian pada 28 Februari dalam satu sidang media menjelang Grand Prix Bahrain, yang membuka tirai F1 musim ini.

Enam daripada tujuh gelaran dunia Hamilton dimenanginya bersama pasukan Mercedes dan ini musim terakhirnya sebelum beliau pindah ke Ferrari.

Pemandu berusia 39 tahun itu berkata: “Ia sama sahaja seperti tahun-tahun sebelumnya. Ia penuh emosi dan setiap minggu ia akan menjadi semakin emosi.

“Saya benar-benar percaya bahawa pasukan ini (Mercedes) akan memenangi satu lagi kejuaraan. Ia adalah sebuah kumpulan luar biasa dan ia dikendalikan dengan sangat baik.

“Mercedes mempunyai sejarah luar biasa, dan daripada anggota lembaga hinggalah ke bawah, mereka buat pelaburan besar dalam perlumbaan dan dalam banyak bidang.

“Tidak kira sama ada ini kereta yang menang kejuaraan atau tidak, ia tidak mempunyai kaitan dengan perasaan saya mengenainya dan pada peringkat seterusnya dalam kerjaya saya.”

Hamilton mengadakan perbincangan dengan Ferrari pada 2019 dan kini bersetuju menyertai pasukan itu dengan “kontrak berbilang tahun”, menggantikan Carlos Sainz.

“Ia mengenai lembaran baru dalam hidup saya, dan saya benar-benar rasa saya telah melakukan semua yang saya boleh lakukan bersama pasukan ini, dan saya berada di penghujung kerjaya saya.

“Saya suka cabaran dan ini adalah cabaran ulung sebenarnya – menyertai sebuah pasukan ikonik, mempunyai sejarah menakjubkan, tetapi juga tidak mencapai banyak kejayaan seperti yang saya jangka dan mereka harapkan dalam sedekad lalu.

“(Ferrari) nampaknya sangat kuat hujung minggu ini – ia sesuatu yang positif bagi pasukan itu jadi matlamat saya ialah menewaskan Ferrari tahun ini – dan saya akan pastikan keadaan bertukar tahun hadapan,” ujar Hamilton.

Beliau menambah bahawa tiada perkara akan berubah pada 2024 di Mercedes – pasukan yang memberinya persefahaman dan sokongan hebat.

Beliau berkata: “Tiada apa yang berubah. Saya pergi ke kilang (Mercedes) pada 26 Februari… Semua kakitangan sedang berusaha gigih.

“Saya telah bersama mereka begitu lama. Perasaan kasih sayang antara anggota pasukan ini sangat mendalam. Dan saya masih, dan akan sentiasa, menyayangi pasukan ini.

“Semua anggota pasukan sangat memahami, saling menyokong (satu sama lain).

“Mereka tahu bahawa saya di sini untuk mencapai kejuaraan bagi mereka, jadi itulah tumpuannya.”

Pemandu utama Red Bull, Max Verstappen, kekal sebagai pilihan utama untuk merangkul kejuaraan dunia kali keempat.

Namun, Hamilton berkata kereta Mercedes bagi 2024 “jauh lebih baik berbanding ketika di peringkat sama dua musim sebelum ini”.

Beliau mengakui bahawa masih ada beberapa masalah yang perlu diatasi Mercedes dan ia tidak sempurna sepenuhnya.

“Tetapi ia pasti berada di tempat permulaan yang lebih baik daripada sejak dua tahun lalu, jadi kami agak gembira dalam aspek ini.” – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg