PARIS: Rafael Nadal menunjukkan sekali lagi mengapa beliau disifatkan sebagai pemain terhebat dalam sejarah Terbuka Perancis selepas beliau menewaskan seteru 'lama' Novak Djokovic dalam pertarungan maraton untuk melangkah ke separuh akhir perseorangan lelaki.
Nadal, yang memburu kejuaraan ke-14, memulakan perlawanan dengan hebat dan mengekalkan prestasi untuk menewaskan Djokovic, yang juga merupakan juara bertahan, 6-2 4-6 6-2 7-6 (7-4) di Roland Garros kelmarin.
Nadal mendapat mata kemenangan empat jam selepas memulakan pertarungan itu.
Beliau, yang telah memenangi 21 kejuaraan Grand Slam, kini akan berdepan dengan pemain pilihan ketiga, Alexander Zverev, dalam separuh akhir esok.
Zverev, 25 tahun, melangkah ke separuh akhir bagi tahun kedua berturut-turut selepas menewaskan bakat muda Sepanyol, Carlos Alcaraz.
Mengulas mengenai kemenangannya, Nadal, 35 tahun, berkata:
"Anda harus bermain di tahap yang baik dari mula hingga akhir perlawanan jika hendak menewaskan Novak.
"Malam ini adalah antara yang paling ajaib bagi saya."
Kemenangan Nadal itu sedikit sebanyak menebus kekalahan di separuh akhir kepada Djokovic pada tahun lalu dan melanjutkan rekodnya kepada 110 kemenangan dalam 113 perlawanan di Roland Garros.
Saingan antara Nadal dengan Djokovic merupakan antara yang paling berpanjangan di gelanggang tenis.
Pertemuan suku akhir kelmarin adalah kali ke-59 mereka bertemu dan kini Nadal hanya kurang satu kemenangan berbanding Djokovic.
"Nadal menunjukkan mengapa beliau seorang juara yang hebat dan beliau kekal kukuh secara mental di gelanggang. Beliau memang layak menang," kata Djokovic.
"Bagi saya, Nadal adalah pemain yang lebih baik di saat-saat genting dalam perlawanan dan beliau telah memulakan perlawanan dengan begitu baik... sebaliknya, permulaan saya mengecewakan.
"Sebenarnya, saya ingat dapat bangkit dalam set kedua... tapi Nadal menunjukkan beliau mampu mencari gear lebih tinggi untuk bermain tenis di tahap yang lebih baik," tambah Djokovic.
Nadal berkata malam sempurna itu penuh emosi bagi beliau dan adalah sebab beliau ingin terus beraksi dalam tenis.
"Malam ini... saya ditenggelami emosi... saya ingin malam seperti begini berterusan," kata beliau.
"Tapi saya sedar kemenangan ini hanya membawa saya ke separuh akhir... saya akan membuat persiapan bagi pertarungan itu pula." - Agensi berita.