Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Naib presiden IOC didenda akibat campur tangan pemilihan pemimpin World Sailing

Jan 6, 2023 | 5:30 AM
BERSALAH: Ng Ser Miang telah didenda $1,400 dan diberikan amaran rasmi kerana didapati bertindak tanpa integriti dan campur tangan dalam pilihan raya World Sailing 2020. - Foto BH oleh KELVIN CHNG
BERSALAH: Ng Ser Miang telah didenda $1,400 dan diberikan amaran rasmi kerana didapati bertindak tanpa integriti dan campur tangan dalam pilihan raya World Sailing 2020. - Foto BH oleh KELVIN CHNG -

NAIB presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan anggota lembaga Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), Ng Ser Miang telah didenda 1,000 euro ($1,400) dan diberikan amaran rasmi selepas didapati bersalah campur tangan dalam proses pemilihan pemimpin pertubuhan sukan layar dunia, World Sailing.

Pertubuhan itu berkata menerusi laman web rasmi, Ng dan bekas pengerusi Suruhanjaya Etika World Sailing, Dieter Neupert didapati bersalah kerana bertindak tanpa integriti dan campur tangan dalam pilihan raya 2020.

Dihubungi oleh The Straits Times, Ng, 73 tahun, berkata:

"Saya letak jawatan dari Suruhanjaya Etika World Sailing pada Disember 2020. Saya berkhidmat di Suruhanjaya Etika World Sailing sebagai relawan dan telah berlaku demikian tanpa dipaksa atau secara berpihak kepada sesiapa; dan dengan cara yang mematuhi sepenuhnya pada peraturan dan undang-undangnya.

"World Sailing tidak berkuasa ke atas saya selepas Disember 2020. Saya tidak menyertai sebarang prosiding (World Sailing) dan menolak sebarang dakwaan dan sekatan ke atas diri saya oleh World Sailing," ujar Ng lagi.

Ng, seorang warga Singapura, berkhidmat sebagai naib presiden Persekutuan Sukan Layar Antarabangsa (nama World Sailing sebelum ini), dari 1994 hingga 1998.

Beliau pentadbir sukan mapan dan berkhidmat kepada IOC sebagai anggota sejak 1998.

Ng pernah berkhidmat sebagai naib presiden SNOC dari 1990 hingga 2014 dan kini pengerusi jawatankuasa rayuan dan kewangannya.

Beliau juga pengerusi Majlis Sukan Singapura - kini dikenali sebagai Sport Singapore - dari 1991 hingga 2002.

Ng juga memimpin jawatankuasa penganjur Sukan Olimpik Belia 2010 sebagai presiden.

Dalam kes dengan World Sailing ini, NC dituduh bertindak secara tanpa integriti dan tanggungjawab serta tidak jujur.

Beliau juga didakwa bertindak dengan cara yang dijangka mengurangkan pendirian tidak berpihak yang dipegang oleh suruhanjaya etika.

Keputusan bersalah yang diberikan kepada Ng itu diputuskan oleh panel bebas tiga anggota yang dipengerusikan peguam Gareth Farrely, yang berpangkalan di London dan juga bekas pemain bola sepak Liga Perdana England.

Dua lagi anggota ialah John Shea dan Laura McCallum.

Pada November 2020, Li Quanhai dari China dipilih sebagai presiden World Sailing selepas mengatasi pemegang jawatan Kim Andersen dari Denmark dengan kelebihan tipis.

Kemenangan Li itu juga dicapai selepas tempoh berkempen di mana Andersen berdepan dengan tiga aduan etika.

Suruhanjaya Etika World Sailing menolak dua aduan, sementara aduan ketiga ditarik balik.

Namun, Andersen mendakwa tiga aduan itu diajukan dalam usaha mencemari beliau menjelang pemilihan presiden World Sailing dan pada September 2020, mengajukan aduan sendiri ke atas Neupert dan Ng.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg