Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ten Hag gesa pasukan bangkit, usah sesia segala kerja baik sejauh ini... ...namun Southampton jugak terdesak mahukan kemenangan

Mar 12, 2023 | 5:30 AM
CARI KEMENANGAN: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag (kiri) mahu melihat pasukannya kembali ke landasan kemenangan manakala bos Southampton, Ruben Selles (kanan), burukan kemenangan dalam usaha elak daripada penyingkiran dari EPL. - Foto-Foto REUTERS, AFP
CARI KEMENANGAN: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag (kiri) mahu melihat pasukannya kembali ke landasan kemenangan manakala bos Southampton, Ruben Selles (kanan), burukan kemenangan dalam usaha elak daripada penyingkiran dari EPL. - Foto-Foto REUTERS, AFP -

LONDON: Tersungkur selepas dimalukan 0-7 oleh Liverpool di Anfield, pengurus Manchester United, Erik ten Hag, menggesa anak didiknya untuk tidak memadamkan semua kerja baik yang telah dilakukan musim ini.

United, penghuni tangga ketiga Liga Perdana England (EPL), mengalami kekalahan terburuk mereka dalam sejarah moden kelab itu minggu lalu.

Menurut The Daily Mail, Ten Hag tiba di Carrington pada pagi Isnin dua jam lebih awal daripada pemainnya. Beliau kemudian mengadakan mesyuarat untuk membincangkan kekalahan di Anfield.

"Apa yang berlaku tidak memusnahkan semua kerja baik yang telah kami lakukan musim ini," adalah mesej dari bos pasukan.

Walaupun persembahan hambar itu menimbulkan kebimbangan terhadap prestasi United, Ten Hag sebaliknya yakin pasukannya dapat kembali menunjukkan potensi sebenar mereka apabila menentang kelab dalam zon penyingkiran, Southampton, di Old Trafford pada Ahad.

United telah beraksi cemerlang sepanjang musim - sudah memperoleh satu trofi, Piala Liga, dan hanya mengalami dua kekalahan sejak November - dan pengurus warga Belanda itu mempunyai sebab yang baik untuk bersikap optimis melihat anak didiknya bangkit semula.

"Kami perlu membetulkan semula keadaan," kata Ten Hag kepada MUTV. "Kami akan berbuat sedemikian. Saya kenal pemain saya, mereka mempunyai perwatakan yang baik, mereka boleh bangkit dan mereka akan melakukannya."

Bintang The Red Devils, Marcus Rashford, sependapat dan ingin pasukan kembali fokus mencatatkan kemenangan. "Saya mengharapkan kami dapat tampil di padang dan bermain untuk cuba memperbaiki keadaan," kata penyerang itu di Twitter.

"Keputusan sudah muktamad, dan kami tidak boleh mengubah apa-apa! Kami tidak boleh membiarkannya mencalar musim kami. Kami perlu mempercayai proses itu dan terus bersatu."

Bekas pemain pertahanan United, Rio Ferdinand, pula berkata belum tiba masanya untuk United menekan 'butang panik'.

"Untuk duduk di sini dan mula menyalahkan pemain bagi satu perlawanan... (Tetapi) selama berbulan-bulan kita duduk di sini dan mengatakan pasukan ini telah menunjukkan peningkatan berbanding apa yang dilihat sebelum ini," kata Ferdinand dalam salurannya di YouTube, Vibe with Five. "Mereka mempunyai satu perlawanan teruk dan kita mahu menghukum mereka... saya rasa ia tidak tepat.

"Saya akan hanya mula rasa panik jika kita tewas pada Khamis (menentang Real Betis) atau Southampton pada hujung minggu ini.

"Ia akan memberitahu saya di mana tahap mental pasukan ini," tambah beliau.

United kekal tanpa kalah menentang Southampton dalam 13 pertemuan terakhir mereka, termasuk kemenangan 9-0 ke atas The Saints pada 2021.

Dalam pertembungan terakhir mereka, United terikat 1-1 bersama Southampton di Old Trafford hasil sumbangan gol Jadon Sancho.

Bagaimanapun, Southampton di bawah kendalian pengurus baru, Ruben Selles, telah menunjukkan prestasi yang baik dan mampu melakar kejutan berdepan United, selepas menewaskan Leicester City 1-0 minggu lalu.

Keputusan itu akan mendorong anak didik Selles untuk meneruskan rentak kemenangan mereka, sekali gus membantu menyalakan harapan untuk elak daripada diturunkan di akhir musim nanti.

Southampton kini menduduki tangga ke-19 daripada 20 pasukan, hanya satu mata terselamat daripada zon penyingkiran.

Berikutan kemenangan itu, Selles menggalak pemainnya yang lebih berpengalaman untuk tampil membantu dan membimbing pemain muda dalam skuad ketika kelab itu bertempur untuk mengelak penyingkiran.

Warga Sepanyol itu memberitahu Daily Echo: "Semua orang mahu memberikan penyelesaian. Jika bukan Theo Walcott, ia adalah Stuart Armstrong, Willy Caballero atau Ward-Prowse.

"Dan sudah tentu mereka perlu memberi nasihat, sudah tentu mereka melihat perkara yang kadangkala anda tidak lihat. Anda perlu mendengar kata mereka kerana jika anda mendengar kata mereka, anda semakin hampir dapat menemui penyelesaiannya.

"Bilik persalinan perlu hidup, jadi bukan sahaja Theo tetapi mereka semua - mereka semua telah tampil ke hadapan dan mereka semua mahu maju ke hadapan. Dalam kepimpinan yang saya amalkan, semua orang mempunyai ruang dan dalam saat-saat indah itu, kami perlu bersama." - Agensi berita.

PEMAIN TUMPUAN

Casemiro Man United, midfield

Casemiro telah beraksi 35 perlawanan merentasi semua pertandingan untuk United sejak tiba ke Old Trafford pada musim panas dari Real Madrid.

Pemain antarabangsa Brazil itu sudah mencatatkan lima gol dan lima 'assist' sepanjang musim pertamanya di Old Trafford, dan telah menjadi tunggak bahagian midfield kelab itu, terutamanya dengan ketiadaan Christian Eriksen yang cedera.

James Ward-Prowse Southampton, midfield

Ward-Prowse menjadi pemain sepanjang masa Southampton dengan penampilan terbanyak dalam Liga Perdana England (330) selepas diturunkan dalam kemenangan 1-0 ke atas Leicester City minggu lalu.

Beliau telah bermain dalam setiap minit dalam liga musim ini, mencatat enam gol dan dua 'assist'

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg