NEW YORK: Juara Grand Slam tenis empat kali Naomi Osaka yang telah membantu mempertingkat kesedaran mengenai isu kesihatan mental dalam sukan ialah atlet wanita yang meraih pendapatan paling lumayan di dunia, menurut satu senarai yang diterbitkan oleh majalah perniagaan Forbes.
Osaka, yang berasal dari Jepun, mendapat hadiah berupa wang dan tajaan bernilai AS$57.3 juta (S$77 juta) tahun lalu, hampir kesemuanya yang diraih melalui tajaan baru dari lebih 10 jenama.
Senarai itu diterbitkan setahun selepas Osaka mengundur diri dari Terbuka Perancis dan berkata beliau berbuat demikian untuk melindungi kesihatan mental.
Ini berlaku sedang beliau terbabit dalam sengketa di mana pemain tenis diwajibkan menghadiri sidang media di pertandingan Grand Slam.
Osaka mendakwa perbuatan itu menambah tekanan mental dan menggugat kesejahteraan mindanya.
Pasangan adik-beradik Serena Williams (AS$45.9 juta) dan kakaknya Venus (AS$11.3 juta) menyusuli Osaka dalam senarai atlet wanita itu.
Mereka diikuti atlet gimnastik Amerika Syarikat Simone Biles (AS$10.1 juta) dan pemain tenis Sepanyol Garbine Muguruza (AS$8.8 juta).
Pemain tenis memenuhi lima daripada 10 tempat teratas dalam senarai itu, yang menurut Forbes, adalah bilangan paling rendah dalam tempoh lebih sedekad.
Bersama, 10 atlet wanita dengan pendapatan tertinggi meraih AS$166.6 juta.
Menurut Forbes, ini adalah kenaikan 23 peratus berbanding 2020. - Reuters.