KEGEMBIRAAN berganda bagi New Zealand di Stadium Negara pada Ahad (9 April).

Pasukan All Blacks itu bukan sahaja merangkul takhta Ragbi Tujuh Sepasukan Singapura pertama mereka sejak 2005, bahkan berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Dalam aksi perlawanan akhir yang mendebarkan, pasukan kegemaran ramai New Zealand menumpaskan Argentina 19-17.

New Zealand, pendahulu tangga Siri Ragbi Tujuh Sepasukan Sedunia, sudah menempah tiket ke Sukan Olimpik tahun depan sebelum perlawanan akhir selepas berjaya menewaskan pemenang dua kali Ragbi Tujuh Sepasukan Singapura, Fiji, 19-10 dalam separuh akhir.

Selepas sembilan pusingan, New Zealand telah mengumpul 164 mata.

Argentina terus menduduki tangga kedua dengan 140 mata setelah kekalahan pada Ahad.

Juara bertahan Fiji, yang juga penghuni tangga ketiga siri (130 mata), meraih tempat ketiga dalam edisi kali ini berikutan kemenangan 24-19 ke atas Samoa.

Ragbi Tujuh Sepasukan Singapura 2023 berkemungkinan edisi yang terakhir kerana perjanjian Singapura untuk menjadi salah satu daripada 10 negara tuan rumah siri itu tamat pada hujung minggu ini.

Hampir 40,000 penonton hadir sepanjang acara dua hari itu bagi 2023.

Kali pertama Singapura menjadi tuan rumah pusingan Siri Ragbi Tujuh Sepasukan Sedunia adalah pada 2002. Acara itu dibatalkan pada 2003 kerana wabak SARS, tetapi Singapura menyambung semula kontraknya sebagai tuan rumah dari 2004 hingga 2006.

Selepas berehat selama 10 tahun, Singapura kembali dengan perjanjian selama empat tahun pada 2016 dengan Ragbi Dunia untuk mengadakan siri itu. Lanjutan empat tahun kemudiannya ditandatangani pada 2019.

Pada November 2022, Ragbi Dunia mengumumkan perubahan besar pada Siri Ragbi Tujuh Sepasukan, dengan bilangan pasukan lelaki dikurangkan daripada 16 kepada 12.

Memberi sebab kebimbangan terhadap kebajikan pemain, Ragbi Dunia turut mengurangkan bilangan pusingan daripada 10 kepada tujuh bagi kalendar baru, yang berkuat kuasa pada Disember 2023.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti