LONDON: Newcastle menjulang trofi utama pertama mereka dalam 70 tahun setelah mengalahkan Liverpool 2-1 dalam perlawanan akhir Piala Carabao di Stadium Wembley pada 16 Mac.
Kali terakhir Newcastle merasakan kejayaan merangkul trofi adalah apabila mereka memenangi Piala FA pada 1955.
Pada separuh masa pertama, tandukan pemain pertahanan Dan Burn menemui sasaran untuk meletakkan Newcastle di hadapan. Penyerang Alexander Isak menggandakan kelebihan pasukannya pada awal separuh masa kedua.
Kapten Bruno Guimaraes menyifatkan kemenangan Newcastle sebagai hari terbaik dalam kehidupannya.
“Ini semua bagi penyokong kami, mereka layak merasakan kejayaan ini. Apabila kali pertama saya tiba di sini saya berkata saya ingin mencatat sejarah,” kata pemain tengah Brazil itu.
“Kini kami boleh katakan bahawa kami juara sekali lagi... tidak terkata saya. Ia hari terbaik dalam kehidupan saya. Bagi mereka (penyokong), piala ini umpama Piala Dunia. Ramai yang membesar dan masih belum menyaksikan kami menjadi juara.
“Ini tahun pertama saya menjadi kapten dan ia antara hari yang terbaik. Sukar untuk percaya.”
Isak mendedahkan bahawa Alan Shearer, bekas penyerang dan kapten Newcastle yang disifatkan sebagai antara pemain terbaik kelab itu, menghubunginya sebelum perlawanan, dan kemenangan itu membuat beliau penuh emosi.
“Newcastle bagaikan rumah kedua saya. Kami telah mencatat sejarah. Satu hari apabila saya meninggalkan kelab ini, saya inginkan penyokong menyanyikan nama saya seperti mereka lakukan untuk Shearer,” tambah Isak.
Burn membuka tirai perlawanan pada minit ke-45 dengan satu tandukan hebat. Beliau berjaya melepasi perhatian pemain tengah Liverpool, Alexis Mac Allister, dan menanduk bola, yang melantun ke arah gawang.
Tandukannya melepasi percubaan penjaga gawang Liverpool, Caoimhin Kelleher, menghalangnya.
Kemudian, Newcastle juga menyaksikan jaringan Isak dibatalkan oleh Penolong Pengadil Video (VAR) akibat ofsaid.
Namun, hanya beberapa detik selepas itu, Isak berjaya mendapatkan jaringan beliau dengan memanfaatkan hantaran Jacob Murphy untuk menjaringkan gol kedua Newcastle pada minit ke-52.
Liverpool akhirnya menunjukkan tanda-tanda kebangkitan pada lewat perlawanan apabila Federico Chiesa menjaringkan gol pada masa tambahan, tetapi ia terbukti terlambat apabila pasukan kendalian Eddie Howe berjaya bertahan untuk mendapatkan kemenangan berharga itu.
Howe berkata beliau mempunyai keyakinan bahawa pasukannya dapat menundukkan pendahulu Liga Perdana England (EPL) itu.
“Saya rasa sungguh emosional, dan saya biasanya tidak begini. Kami tahu apa yang sedang dipertaruhkan dan kami hanya ingin membanggakan semua orang,” katanya.
“Kami terdesak untuk cuba memenangi trofi ini selepas bertahun-tahun mengalami kekecewaan.”
“Rasanya sungguh berbeza. Kami telah memenangi perlawanan ini dan semuanya akan dinilai secara positif. Saya tahu kami telah menjalankan persiapan dengan baik dan saya sungguh yakin bahawa pemain akan berjaya.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg