NEWCASTLE: Jaringan babak kedua oleh Dan Burn dan Joelinton membantu Newcastle United menewaskan Leicester City 2-0 kelmarin untuk mengesahkan tempatnya di separuh akhir Piala Carabao.
Ketumpulan menjaringkan gol menghantui Newcastle akhir-akhir ini dan mereka berdepan situasi sama pada babak pertama perlawanan apabila 12 percubaan mereka gagal menembusi gawang Leicester.
Pasukan tuan rumah itu hampir mendahului sejurus selepas rehat tetapi rembatan Joelinton tersasar sedikit selepas diasak Marc Albrighton.
Pemain pertahanan Burn akhirnya memecah kekentalan benteng Leicester pada minit ke-60 menerusi satu larian kencang sebelum merembat bola ke dalam gawang untuk gol pertama Newcastle.
Joelinton menjadikan kedudukan 2-0 selepas satu rembatan kencang dalam kotak penalti bagi menyalakan impian Newcastle menjulang trofi utama domestik pertama mereka sejak 1955.
"Memangi trofi ini adalah sangat bermakna, tetapi kami perlu fokus pada perlawanan seterusnya, satu demi satu dan sekarang perlu fokus pada Liga Perdana (EPL)," kata pemain pertahanan Kieran Trippier kepada Sky Sports.
"Kami tahu ia penting kerana kami tersingkir daripada Piala FA dan rakan sepasukan cemerlang malam ini."
Leicester menamatkan kekalahan tiga kali berturut-turut mereka dengan kemenangan ke atas kelab divisyen empat Gillingham dalam aksi Piala FA hujung minggu lalu, tetapi gagal mengekalkan momentum di St James Park. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg