PRAIA GRANDE (Brazil): Bintang bola sepak Brazil Neymar mengakui selepas kekalahan negaranya pada suku akhir Piala Dunia di tangan Belgium, beliau tidak boleh melihat walau sebiji bola pun dan tidak mahu menonton sembarang baki perlawanan kejohanan itu.

"Tidaklah sampai saya tidak mahu bermain lagi, tapi saya tidak mahu melihat sebiji bola atau menyaksikan sembarang perlawanan bola sepak," kata pemain berusia 26 tahun itu dalam satu temu ramah eksklusif bersama agensi AFP pada Sabtu (21 Julai).

Penyerang kelab Paris Saint-Germain (PSG) itu bercakap di institut Neymar Praia Grande semasa kejohanan bola sepak lima sepasukan Red Bull Neymar Jr 5s sedang berlangsung.

Memakai kemeja-T tanpa lengan sambil meriba anak lelakinya berusia enam tahun, Davi Lucca, penyerang itu lebih tenang ketika menceritakan kekecewaannya selepas Piala Dunia.

"Saya berkabung, saya amat sedih mengenainya, tapi kesedihan berlalu, saya mempunyai anak lelaki, keluarga, rakan dan mereka tidak mahu saya menangis berpanjangan. "Saya mempunyai lebih banyak alasan untuk bergembira berbanding bersedih," kata Neymar, merujuk kepada kekalahan 1-2 pasukannya kepada Belgium pada suku akhir.

Ditanya mengenai laporan di Sepanyol yang mengaitkannya dengan perpindahan ke Real Madrid, penyerang itu berkata "ia semuanya spekulasi daripada wartawan".

"Orang yang tampil dengan cerita itu lebih mengetahui kehidupan saya berbanding saya sendiri. Saya tidak akan menjawab soalan sebegini kerana tiada apa yang berlaku," tegasnya.

Neymar, yang berpindah ke PSG dengan bayaran rekod dunia 222 juta euro ($355 juta) tahun lalu, dikritik hebat pada Piala Dunia kerana lakonannya berguling-guling atau merebahkan badan secara sengaja selepas dikasari, namun beliau menyatakan beliau sepatutnya mendapat lebih perlindungan.

"Orang lebih pantas mengkritik pemain yang dikasari berbanding pemain yang mengasari," ujarnya.

"Saya hadir ke Piala Dunia untuk bermain, mengatasi lawan, bukannya dibentes. Kritikan terhadap saya agak melampau tapi saya sudah besar, saya sudah lali dengan perkara sebegini.

"Saya tidak boleh menjadi pengadil dan bermain pada masa sama, tapi ada kalanya saya harap ia sebegitu," katanya. - AFP.