LONDON: Kemunduran yang sedang dialami Barcelona, yang begitu ketara semasa kekalahan 0-3 kepada Benfica dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah kelmarin menarik perhatian, tetapi ia mungkin bukan satu perkara yang mencetus kehairanan.
Sejurus selepas Lionel Messi meninggalkan Nou Camp dan menandatangani kontrak dengan Paris Saint-Germain beberapa minggu lalu, bekas rakan sepasukan di Barcelona, Gerard Pique, berkata era unggul kelab itu mungkin telah berakhir.
Malah, selepas Barcelona tewas 0-3 kepada Bayern Munich dalam perlawanan pembuka tirai Liga Juara-Juara bulan lalu, Pique berkata:
"Inilah realitinya bagi kami."
Tanpa Messi, ia terkial-kial untuk mengawal rentak permainan dan bak tidak lagi berdaya untuk menjaringkan gol, sekali gus menimbul pertanyaan juga mengenai masa depan pengurus, Ronald Koeman (gambar atas).
Masalah Barcelona tidak terhad di dalam padang sahaja.
Kelab itu juga dibebani masalah kewangan dan kini menanggung hutang yang dianggarkan sehingga £1 bilion ($1.8 bilion).
Namun, kelmarin, beberapa akhbar di Sepanyol melaporkan ia telah menerima tawaran bernilai £1.2 bilion dari sebuah kumpulan perniagaan di Dubai yang ingin membeli kelab itu. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg