SAO PAULO (Brazil): Lando Norris berjaya mengharungi hujan lebat pada 8 November untuk meraih kemenangan berturut-turut kedua buat McLaren di Grand Prix (GP) Sao Paulo.

Pada masa yang sama, Mercedes merangkul kejuaraan pembuat kereta dan gelaran berganda yang bersejarah.

Norris, 26 tahun, juara dunia 2025, menamatkan perlumbaan 14.6 saat di hadapan juara empat kali Red Bull, Max Verstappen, dan Isack Hadjar.

Ini kemenangan ke-14 dan podium ke-50 dalam kerjayanya.

Verstappen bermula dari petak ke-21 dan sekali lagi mempamerkan pemanduan yang sungguh memukau.  

George Russell pula menamatkan perlumbaan di tempat keempat untuk Mercedes selepas bermula di tempat kelima dan berpusing di lorong pit.

Beliau mendahului rakan sepasukannya, Kimi Antonelli, yang mendapat tempat kelima, tujuh hari selepas menjadi juara termuda.

Antonelli, 20 tahun, memulakan perlumbaan dari barisan hadapan di samping pemegang petak utama, Norris, dan mengharungi perlumbaan yang sukar.

Namun, keputusan itu sudah cukup untuk memastikan Mercedes mengumpul mata lebih banyak berbanding Ferrari dan meraih gelaran pasukan kesembilan.

“Itu perlumbaan yang sangat sukar,” kata Norris.

“Permulaan perlumbaan memang sukar, banyak cabaran, menukar kepada tayar ‘slick’ dalam keadaan basah, dan sangat mencabar ketika kami memecut laju! Tetapi saya kekal tenang, tidak membuat kesilapan, dan seronok dapat berada di kedudukan teratas semula,” tambah beliau.

Verstappen berkata: “Ia perlumbaan yang mencabar! Beberapa pusingan pertama sangat penting. Kami menunjukkan prestasi yang baik ketika menggunakan tayar ‘intermediate’ (perantaraan), namun prestasi kami merosot sedikit selepas itu. Namun, bermula di tempat ke-21 dan menamatkan perlumbaan di podium ialah pencapaian yang mengagumkan.”

Hadjar, yang meraih podium ketiganya pada 2026 dan buat kali pertama mendahului sebuah GP, menambah: “Ia sangat sukar. Harus bertukar tayar beberapa kali! Sangat sukar dipandu, kemudian hujan turun lagi.”

Perlumbaan bermula dengan aksi mendebarkan pada pusingan pertama. Antonelli, yang melakukan permulaan cemerlang, terus memintas untuk mendahului ke selekoh Senna Esses, manakala Norris berdepan kesukaran selepas memulakan perlumbaan dari petak utama buat kali ke-20 dalam kerjayanya. Liam Lawson naik ke tempat ketiga di Curva do Sol.

Di belakang mereka, Lewis Hamilton dan Verstappen berjaya mengatasi kekangan bermula dari bahagian belakang grid.

Dalam tempoh hanya dua pusingan, kedua-duanya telah melonjak ke kedudukan kesembilan dan ke-10, ketika percikan air membasahi seluruh barisan pelumba. 

Menjelang pusingan keenam, Norris telah bangkit untuk memintas Lawson.

Antonelli pula mendahului dengan perbezaan 5.1 saat dan diarahkan supaya memastikan tayarnya tidak panas.

Semua pemandu menggunakan tayar perantaraan ketika trek mula kering, dengan hujan lebat diramalkan.

Verstappen dan Antonelli melewatkan giliran masuk pit mereka.

Itu memberi kelebihan kepada Norris yang masuk pit lebih awal untuk memanaskan tayarnya. 

Apabila Antonelli berpusing pada permulaan pusingan ke-20 akibat tayar yang sejuk, Norris merampas pendahuluan.

Pada pusingan ke-50, Norris masuk pit sekali lagi dan kembali ke trek di tempat ketiga di belakang rakan sepasukan McLaren, Oscar Piastri, yang memberinya laluan.

Beliau naik ke tempat kedua apabila Hadjar masuk pit pada pusingan ke-51.

Ketika itu, juara 2025 berada 7.4 saat di belakang penggantinya.

Antonelli masuk pit lagi pada pusingan ke-55 dan sekali lagi menyerahkan pendahuluan kepada Norris.

Beliau kembali ke trek di tempat kelima di belakang Russell, dengan kedua-dua pemandu Red Bull di tempat kedua dan ketiga.

Hujan renyai mula turun, kemudian bertambah lebat.

Norris masuk pit pada pusingan ke-63 untuk bertukar kepada tayar perantaraan, diikuti Verstappen dan pemandu lain.

Antonelli dilepaskan ke laluan keluar pit tepat pada masa Franco Colapinto lalu, manakala Hamilton berpusing ketika keadaan bertambah buruk pada pusingan akhir. – AFP.