Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

PERSONALITI SUKAN

Nur Hisham berkorban apa sahaja demi takraw tersayang

Mula beraksi di Sukan SEA pada usia 18 tahun, bekas tekong dan kapten skuad nasional kongsi kenangan
Mar 11, 2019 | 05:30 AM



"DULU manalah ada latihan secara full-time tapi kita dah buat macam full-time."



Mengimbas detiknya bersama skuad sepak takraw nasional tidak lama dulu, bekas kapten skuad negara, Nur Hisham Adam bersemangat berkongsi pengalamannya dalam pertemuan dengan Berita Harian (BH) baru-baru ini.



"Ada (pemain) yang sanggup ketepikan langsung pekerjaan manakala ada pula yang sekadar kerja main-main... part-time sana, part-time sini... semata-mata tidak mahu terlepas sesi latihan.



"Lebih-lebih lagi mereka yang masih bujang... yang tak banyak tanggungjawab... mereka sanggup menempuh cabaran seharian dengan hanya elaun yang diterima bagi menghadiri latihan dan juga pertandingan.



"Saya yang ketika itu tinggal di Bedok sanggup jogging hingga ke Pusat Perses (Persekutuan Sepak Takraw Singapura) yang lama (di Geylang Serai) bagi sertai sesi latihan semata-mata mahu meningkatkan tahap kecergasan.



"Segala-galanya ini demi sukan tersayang, sepak takraw. Tetapi itulah juga antara sebab mengapa pertalian dan persahabatan di kalangan kami... para pemain semua... begitu kuat sekali.



"Semangat berpasukan yang tinggi ini juga membantu kami setiap kali beraksi di dalam gelanggang... Kami sanggup bermain bermati-matian demi membanggakan negara," ujar Nur Hisham, kini berusia 51 tahun, mengenai kerjayanya yang lebih sedekad setengah menyarungi jersi skuad sepak takraw negara.



Seperti rakan-rakan sebayanya, Nur Hisham, yang membesar di kampung Jalan Ladang dekat Kaki Bukit memilih untuk bermain bola sepak semasa zaman kecilnya.



Bola sepak mengisi sebahagian besar masa anak kedua dalam keluarga empat beradik ini terutama semasa menjadi murid di Sekolah Rendah Kembangan.



Hanya ketika berada di Sekolah Menengah Maju dan atas ajakan dua rakan karibnya - Ahmad Treemoh yang juga kemudian pernah menjadi menyertai skuad akraw nasional serta seorang lagi yang beliau hanya ingat dengan nama 'Azhar' sahaja - barulah beliau mula berjinak-jinak dalam sukan tradisional ini.



"Sekalipun saya baru bermain sukan ini, saya berjaya membantu (Sekolah Menengah) Maju muncul juara kategori bawah 16 tahun bagi merebut Piala Tunas Mekar.



"Jadi, saya semakin bersemangat... melihat potensi saya yang lebih besar dalam sukan ini berbanding bola sepak... inilah yang mendorong saya memberikan tumpuan sepenuhnya pada sepak takraw sejak berada di sekolah menengah," tambahnya.



Keseronokannya beraksi di peringkat sekolah turut menyaksikan Nur Hisham menyertai kelab pertamanya - Utara Sports Club - yang mengendalikan latihan di Balai Rakyat Chai Chee waktu itu.



Namun, keputusannya mengikut jejak Ahmad dan 'Azhar' 'melompat' ke kelab baru - menyertai latihan dengan Sri Kallang yang dianggap antara kelab gergasi sepak takraw setempat - menjadi titik mula bagi Nur Hisham mengukir namanya dalam sukan ini.



Waktu itu usianya baru mencecah lingkungan 15-16 tahun tetapi peluang keemasan berlatih dan menimba tunjuk ajar dan bimbingan daripada barisan pemain handalan nasional yang berada dalam skuad Sri Kallang waktu itu seperti Mohd Said Yusof, Rosli Hassan dan Jumahat Salleh sesuatu yang berharga sekali.



"Saya sekadar seorang budak hingusan waktu itu... bayangkan betapa sukarnya untuk mendapat tempat dalam skuad Sri Kallang yang rata-rata terdiri daripada pemain terbaik yang ada di Singapura.



"Tetapi segalanya saya anggap sebagai satu cabaran dan motivasi untuk terus berlatih dengan gigih... apabila dipilih mewakili regu Sri Kallang, ia menjadi pendorong untuk melihat sejauh mana saya dapat melangkah dalam sukan ini," kata Nur Hisham lagi.



Terbukti, Nur Hisham - yang dikenali dengan sepakan tekongnya yang tajam dan deras - berjaya mengorak langkah cemerlang sepanjang kerjayanya dalam sukan ini, baik di peringkat kelab mahupun semasa menyarungi jersi skuad nasional.



Pada usia semuda 17 tahun, beliau sudah pun mendapat undangan menyertai skuad bawah 18 tahun nasional yang beraksi di kejohanan kumpulan umur itu di Piala Raja- Raja Thai sebelum diserapkan ke skuad bawah 21 tahun nasional.



Tahun itu turut menyaksikan Nurhisham diundang menyertai skuad nasional yang ketika itu dibimbing Allahyarham R.S. Selamat.



Pada usia 18 tahun, Nur Hisham berpeluang merasakan bahang kehangatan Sukan SEA sulungnya - temasya yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 1989.



Malah, seperti katanya, beliau juga tidak pernah pulang dengan tangan kosong setiap kali mewakili negara di temasya sukan besar - enam edisi Sukan SEA (1989, 1993, 1995, 1999, 2001 dan 2003) dan empat Sukan Asia (1990, 1994, 1998 dan 2002).



Antara detik paling manis termasuk menjadi tunggak regu negara yang termasuk Padzli Othman dan Rafi Majid yang memenangi pingat perak dalam acara antara regu di Sukan SEA 1993 yang berlangsung di tanah air.



Nur Hisham, yang mula dilantik kapten skuad nasional sejak 1995, turut merangkul pingat perak keduanya dalam acara antara regu di Sukan SEA di Chiangmai, Thailand, bersama-sama Rafi Buang dan Eddie Abdul Kader pada tahun itu.



Menurutnya, satu lagi kenangan manis yang akan kekal dalam sanubarinya - kejayaan menewaskan regu handalan Thai yang turut dibarisi tekong yang digeruni dalam sukan ini Pakdee Dangwatanapaibul di Piala Dunia 1990 di Kuala Lumpur.



Selepas menamatkan kerjayanya di peringkat antarabangsa, beliau tetap berkecimpung dalam sukan ini - sebagai jurulatih di peringkat kelab dan juga membimbing pemain-pemain cilik di peringkat sekolah.



Nur Hisham pernah juga menyandang gelaran jurulatih nasional sekitar tahun 2000 dan membimbing anak didiknya ke Piala Raja-Raja Thai serta Piala Dunia tetapi belum sampai ke penghujung kontraknya selama setahun, beliau "mendapat e-mel yang mengatakan khidmat saya tidak diperlukan lagi".



Kini bekerja secara freelance dan semakin jauh daripada arena sepak takraw sejak empat, lima tahun lalu, beliau tetap mendambakan harapan melihat sukan ini kembali bertenaga seperti semasa eranya tidak lama dulu.



"Hari ini memang menyedihkan... kita lihat semakin kurang sekolah yang menawarkan sepak takraw sebagai CCA (kegiatan kokurikulum).



"Jika kita pernah berdiri sama tinggi dengan Thailand dan Malaysia tidak lama dulu, bukanlah sesuatu yang mustahil bagi pemain hari ini mengembalikan era kecemerlangan waktu dulu.



"Kita juga mempunyai ramai bekas pemain dan jurulatih yang memiliki pengalaman dan pengetahuan luas dalam sukan ini yang boleh disalurkan dan dikongsi dengan pemain-pemain muda hari ini.



"Saya percaya dengan bimbingan yang betul, mutu sukan ini akan naik semula," kata Nur Hisham, penuh harapan.




"Ada (pemain) yang sanggup ketepikan langsung pekerjaan manakala ada pula yang sekadar kerja main-main... part-time sana, part-time sini... semata-mata tidak mahu terlepas sesi latihan. Lebih-lebih lagi mereka yang masih bujang... yang tak banyak tanggungjawab... mereka sanggup menempuh cabaran seharian dengan hanya elaun yang diterima bagi menghadiri latihan dan juga pertandingan. Saya yang ketika itu tinggal di Bedok sanggup jogging hingga ke Pusat Perses (Persekutuan Sepak Takraw Singapura) yang lama (di Geylang Serai) bagi sertai sesi latihan semata-mata mahu meningkatkan tahap kecergasan. Segala-galanya ini demi sukan tersayang, sepak takraw. Tetapi itulah juga antara sebab mengapa pertalian dan persahabatan di kalangan kami... para pemain semua... begitu kuat sekali. Semangat berpasukan yang tinggi ini juga membantu kami setiap kali beraksi di dalam gelanggang."
- Nur Hisham Adam, menyingkap masanya sebagai pemain tidak lama dulu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >