Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ogura ajak Singa bangkit, dakap ‘bola sepak menyerang’

Jun 11, 2024 | 4:18 PM
Jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura, mahukan perubahan positif pada mentaliti pemain Singa.
Jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura, mahukan perubahan positif pada mentaliti pemain Singa. - Foto ST

Kekalahan 0-7 di padang sendiri di tangan Korea Selatan pada 6 Jun telah menyebabkan pasukan Singa terluka, peminat kecewa dan pengkritik mula merungut bahawa pendekatan permainan terbuka Singapura menyumbang kepada kekalahan di Stadium Nasional.

Namun, jurulatih kebangsaan Tsutomu Ogura menegaskan bahawa gaya permainan bertahan tidak akan membawa kepada kemajuan.

Sambil mengakui tiada penyelesaian segera, jurulatih asal Jepun itu mengajak pasukan Singa bangkit dan terus belajar daripada kesilapan mereka sambil mendakap erat jenama bola sepak menyerang yang dirancangkannya.

Anak didik Ogura berazam menebus kekalahan itu dalam perlawanan terakhir Kumpulan C kempen kelayakan Piala Dunia mereka pada 11 Jun menentang Thailand di Bangkok.

Walau apa pun keputusannya, Singapura, yang hanya memperoleh satu mata daripada lima perlawanan, akan menduduki tangga corot kumpulan empat pasukan.

Thailand, yang mempunyai lima mata, akan mengintai kemenangan besar supaya dapat menambah perbezaan gol mereka dan mengatasi China, yang mempunyai lapan mata, sekali gus melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Bagaimanapun, Ogura berkata mereka tidak akan meletakkan kesemua 11 pemain di bahagian pertahanan menentang pasukan Gajah Perang yang seri 1-1 dengan China di tempat lawan pada 6 Jun.

Ogura mungkin tidak akan berada di bangku simpanan di Stadium Nasional Rajamangala setelah disahkan positif Covid-19 pada 10 Jun.

Penolong jurulatih Gavin Lee, yang akan mengambil alih tugasnya, berkata mereka akan melaksanakan arahan beliau.

Menjawab pertanyaan The Straits Times menerusi respons bertulis menjelang perlawanan, Ogura berkata:

“Saya percaya peminat kami mahu lihat kami cuba memenangi perlawanan, bukan hanya duduk bertahan dan dapatkan keputusan seri 0-0 atau kalah dengan jurang yang kecil.

“Kami cuba perkara tersebut ketika menentang Korea dan dihukum oleh kualiti mereka. Jika peminat mahu kami bertahan dengan 11 pemain dan mengehadkan kekalahan kepada dua atau tiga gol, maka saya bukan orang yang tepat untuk tugasan ini.

“Kerja keras harus datang daripada kami sendiri, untuk memperbaiki cara permainan kami... Bukan bertahan dengan 11 pemain dan kemudian melakukan serangan balas dan menang 1-0, dengan harapan Thailand akan mengalami hari yang buruk, bagi saya itu bukan kemajuan.”

Dalam sidang media praperlawanan, Lee menambah: “Kami berada di sini untuk melaksanakan apa yang kami rancang sebagai pasukan jurulatih sejak awal lagi.”

Ogura, yang dilantik pada Februari, mengakui bahawa “pemain membuat kesilapan, begitu juga saya”.

“Dalam perlawanan menentang Korea, jika saya boleh melakukan sesuatu yang berbeza ialah mungkin membuat perubahan dengan lebih cepat,” kata jurulatih Jepun itu, yang melakukan pertukaran pertamanya pada minit ke-62, dengan memasukkan empat pemain ketika pasukan Singa sudah ketinggalan 0-5.

Beliau turut menekankan kawasan yang perlu ditingkatkan Singa seperti ketika bertahan, meningkatkan tekanan tanpa bola dan menjadi lebih klinikal di sepertiga akhir.

Peningkatan ini diharapkan dapat dilaksanakan sebelum Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean yang akan berlangsung pada 23 November - 21 Disember.

Di sebalik aspek taktikal dan teknikal, Ogura juga mahukan perubahan positif dari segi mentaliti.

“Apabila kami gugup, kami lebih cenderung bertahan dan cuba menghalang lawan – anda melihatnya selepas Korea menjaringkan gol ketiga.

“Maka dari segi mental, kami perlu belajar untuk tidak takut, walaupun kami melakukan kesilapan atau lawan bermain dengan sangat baik.”

“Teruskan percaya pada diri sendiri, dengan cara bola sepak kami, dengan apa yang kami lakukan dalam latihan,” ujar Ogura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg