Olimpik Tokyo 2020 labuh tirai dalam sepi meski ada percikan bunga api
Olimpik Tokyo 2020 labuh tirai dalam sepi meski ada percikan bunga api
TOKYO: Atlet berpelitup berbaris ke stadium yang hampir kosong di Tokyo pada Ahad (8 Ogos) sedang Jepun bersiap sedia untuk memadamkan nyala api Sukan Olimpik dan melabuhkan tirai acara tersebut yang diadakan dalam tempoh pandemik.
Segala drama politik, sukan dan gejolak emosi ditinggalkan.
Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Encik Thomas Bach, mengumumkan terlabuhnya tirai Olimpik.
Percikan bunga api berwarna putih dan keemas-emasan kelihatan bak satu kelegaan dan penyeri sukan yang diadakan tanpa penonton.
Pentas di tengah stadium juga kelihatan tidak terisi meskipun atlet yang berbaris memegang bendera negara masing tampil satu-persatu mengisi ruang tersebut. Kebanyakan atlet terkenal sudah meninggalkan Tokyo dan tidak dapat hadir pada acara Ahad.
Olahragawan ini sepatutnya pulang ke negara masing-masing sekitar 48 jam selepas tamat pertandingan terakhir.
Olimpik Tokyo ini sepatutnya bertujuan mengetengahkan Jepun yang pulih daripada bencana gempa bumi, tsunami dan krisis nuklear pada 2011.
Setelah ditunda selama setahun, penganjur Olimpik berkata Sukan itu menjadi simbol kejayaan dunia meneruskan perjuangan dalam tempoh pandemik.
Namun, tanpa penonton dan varian Covid-19 yang mengganas, Sukan Olimpik kali ini ketandusan semangat jaya dan keuntungan kewangan yang Jepun pada awalnya impikan.
Kemarahan terhadap respons pandemik dan proses vaksinasi yang lambat bermula ini merosakkan kedudukan Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga, di mata masyarakat.
Tinjauan awam yang dijalankan rata-rata menunjukkan kebanyakan daripada warga Jepun menentang rancangan meganjurkan Sukan Olimpik ini sewaktu pandemik.
Juara judo Olimpik, Naohisa Takato dan perenang Yui Ohashi adalah antara yang mengibarkan bendera Jepun ke dalam stadium sebagai pembuka tirai acara.
Kumpulan teater yang terdiri daripada wanita, Takarazuka Revue, yang mempunyai sejarah lebih satu abad menyanyikan lagu kebangsaan Jepun dengan penampilan penuh tradisi, menggunakan pakaian tradisional hakama yang berwarna-warni.
Ada yang mengatakan pelik untuk mengetengahkan Takarazuka Revue yang hanya membenarkan wanita bujang membuat persembahan dengan cogan kata sandaran yang menekankan kehormatan diri dan kelembutan. Sukan Olimpik, bezanya, menekankan perihal kesaksamaan jantina.
Ada juga yang memprotes dengan membawa kain rentang yang memaparkan kata-kata 'Olimpik membunuh si miskin' dan 'Kami tidak perlukan Olimpik'. Mereka bergelut dengan pegawai polis di luar stadium. Jumlah mereka tidak seberapa, tenggelam dek himpunan orang ramai di jalanan.
Pihak penganjur juga gigih berusaha bagi mengelakkan Sukan Olimpik ini daripada menjadi acara yang menyebarkan virus secara berleluasa dengan 50,000 orang bersatu hati di sebalik pandemik ini.
Varian Delta pula menyebabkan jangkitan harian di Jepun mencecah lebih 5,000 kes buat kali pertama di Tokyo, mengancam memberi tekanan buat hospital di sana.
Pada akhir acara, Amerika berada di tangga teratas mengatasi Cina dengan 39 pingat emas. China membawa pulang 38 pingat emas. Tuan rumah Jepun di tempat ketiga dengan 27 pingat emas, pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan negaranya pada Olimpik.
Dalam ucapan penutupnya, Encik Bach mengucapkan terima kasih kepada Jepun kerana mengusahakan acara ini sebaiknya buat atlet di sebalik cabaran yang melanda. - The Straits Times

