'MAJULAH SINGAPURA' berkumandang buat kali pertama di Pusat Akuatik Tokyo semalam selepas perenang negara Yip Pin Xiu memenangi pingat pertama Singapura di Paralimpik Tokyo 2020.
Yip, 29 tahun, memenangi lumba kuak lentang 100 meter (S2) pada hari pertama semalam, mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Paralimpik Rio 2016.
Beliau mencatat masa 2 minit 16.61 saat (2:16.61) untuk menewaskan perenang pasukan tuan rumah Miyuki Yamada yang memenangi pingat perak dalam masa 2:26.18 dan Ramirez Fabiola dari Mexico, yang mencatat masa 2:36.54 untuk memenangi pingat gangsa.
Ini adalah pingat emas Paralimpik yang keempat dimenangi Yip, yang matanya bergenang air mata semasa Majulah Singapura dimainkan semalam.
Beliau juga adalah pemegang rekod dunia bagi acara tersebut - 2:07.09 - yang dicatatnya di Rio 2016.
Kemenangan Yip itu disambut dengan amat gembira oleh warga Singapura, dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong turut mengirimkan ucapan tahniah di Facebook.
"Pin Xiu, Singapura berbangga dengan pencapaian anda, dan anda sumber inspirasi bagi kita semua," kata beliau.
Di pusat akuatik semalam, Yamada memulakan perlumbaan dengan pantas, dan mendahului Yip pada jarak 25 meter.
Namun Yip mula merapat jurang dengan Yamada di pertengahan kolam dan akhirnya mememenangi perlumbaan dengan selesa.
Yip berpeluang memenangi satu lagi emas - dalam acara kuak lentang 50 meter (S2) pada 2 September.
Beliau juga pemegang rekod dunia bagi acara tersebut.
Dalam pada itu, seorang lagi perenang negara Sophie Soon mencatat masa 1 min 28.61 saat dalam saringan acara gaya kupu-kupu 100 meter (S13).
Beliau, yang bertanding di Paralimpik pertama, mengakhiri perlumbaan di tempat terakhir antara 18 perenang dan tidak melayakkan diri ke final.
Namun beliau mempunyai peluang baik untuk menebus kekecewaannya pdaa 1 September nanti, apabila beliau bersaing dalam acara kegemaran - kuak dada 100 meter (SB12).
Dalam pada itu, atlet lumba basikal negara Steve Tee mencatat masa peribadi terbaik, 4:40.453 dalam acara kejar-mengejar individu 4,000 meter lelaki (B) semalam.
Bertanding dalam saringan ketiga, Tee, dan jurupandunya, Ang Kee Meng, menewaskan peserta dari Hungary Robert Ocelka dan jurupandunya Gergely Nag yang mencatat masa 4 minit42.401 saat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg