Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasangan adik-beradik kembali dari 'bersara' demi negara
Pasangan adik-beradik kembali dari 'bersara' demi negara
Lebih separuh atau 12 daripada 20 pesilat dalam skuad Sukan SEA Singapura tahun ini akan bersaing buat pertama kali di temasya sukan dwitahunan berprestij itu. BERITA HARIAN bertemu dengan empat daripada pesilat itu di OCBC Arena baru-baru ini untuk menyingkap perjalanan mereka ke Sukan SEA sebelum pasukan negara berangkat ke Hanoi pada Sabtu ini. Pesilat muda bersemangat harungi cabaran Sukan SEA
Pasangan adik-beradik kembali dari 'bersara' demi negara
Pesilat muda bersemangat harungi cabaran Sukan SEA
SATU panggilan yang tidak dijangka daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Silat Singapura (Persisi), Sheik Alau'ddin Yaacob Marican, pada awal Februari lalu, menyatukan semula pasangan adik-beradik pesilat ini kepada sukan yang mereka ceburi sejak kecil lagi.
Muhammad Hazim Mohd Zaque, 18 tahun, dan abangnya, Muhammad Haziq, 20 tahun, akan mewakili Singapura dalam acara seni ganda putera di Sukan SEA Hanoi bulan ini. Penampilan mereka di pentas temasya sukan berprestij itu adalah yang pertama buat duo itu.
Menceritakan detiknya mendapat panggilan "mengejutkan" itu, Haziq, yang mula menceburkan diri dalam silat seawal usia enam tahun, berkata:
"Bapa saya menelefon saya pada waktu pagi dan ketika itu, saya masih lagi tidur. Dia kata Uncle Sheik telefon dan ingin kami masuk balik dalam silat.
"Kami terkejut sebab kami memang telah buat keputusan untuk tidak bertanding lagi. Kami sudah penat... dan mahu cuba sukan baru, selain sibuk dengan kegiatan lain."
Namun, selepas berunding, adik-beradik itu menyahut cabaran untuk kembali ke gelanggang selepas dua tahun berehat. Ibu bapa mereka menjadi motivasi kuat untuk Hazim dan abangnya berusaha gigih.
"Ini adalah satu-satunya peluang untuk kami beraksi bersama dan mencipta sejarah untuk keluarga kami.
"Kami ingin buktikan kepada mereka yang meragui bakat kami bahawa kami boleh berjaya," kata Hazim, yang berjinak dalam silat pada usia empat tahun. Bapa mereka, Mohd Zaque Mohd Ali, adalah bekas pesilat dan kini wasit di kejohanan silat.
"Bapa kami kerap bersama pasukan nasional untuk ke kejohanan luar negara dan ketika beliau di meja wasit, beliau akan terfikir tentang kami. Beliau kata beliau dapat lihat kami bersaing di kejohanan besar. Jadi ini adalah impiannya," tambah Haziq.
Kepulangan mereka dalam arena silat menjadi lebih manis dengan Haziq dan Hazim digandingkan bersama buat pertama kalinya.
"Ia rasa selesa," kata Hazim, sambil menambah "pergaduhan manja" mengenai silat antara adik-beradik itu juga sudah menjadi perkara biasa.
Keakraban ini ditonjolkan di Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara pada lewat Februari lalu di Singapura ketika mereka meraih pingat emas dalam acara seni tunggal putera senior dengan pungutan 9.75 mata. Kategori itu bagaimanapun tiada saingan lain.
Namun, perjalanan mereka ke kejohanan itu penuh onak dan duri. Mereka hanya mempunyai lapan hari untuk membuat persiapan sejak mendapat undangan itu.
Haziq, yang bertugas sebagai duta jenama sebuah gimnasium dan juruteknik basikal, cedera akibat kemalangan motosikal. Beberapa bahagian badannya cedera.
Namun, Haziq menahan kesakitan untuk terus berlatih dan beraksi di dalam arena.
Si adik pula, yang kini di tahun akhir jurusan kejuruteraan elektrikal dan kawalan kuasa Nitec di Kolej Timur ITE, sedang sibuk dengan latihan kerja sambil belajar dan terpaksa mencari masa untuk berlatih.
"Terus terang, kami agak tertekan (dengan situasi itu). Tapi, kami tidak mahu menghampakan semua orang dan teruskan juga berlatih dengan gigih," kongsi Haziq.
Di sebalik cabaran yang dilalui sepanjang perjalanan mereka ke Sukan SEA ini, Haziq dan Hazim bertekad membawa pulang keceriaan dengan sebutir pingat dari Hanoi nanti.
"Tidak kiralah warna pingat... tapi jika kami berjaya mendapat pingat emas, itu mungkin sudah rezeki kami," tambah Hazim.
