Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan Asia bukan lagi 'budak hingusan'

Bertambahnya pemain Asia yang aksi dalam liga Eropah serta kepimpinan jurulatih asing yang berkaliber bantu pasukan Asia tunjuk 'garang'
Dec 5, 2022 | 5:30 AM
DUA KEMENANGAN HEBAT: Jepun menewaskan dua gergasi Eropah, Jerman dan Sepanyol, untuk layak ke pusingan 16 pasukan terakhir Piala Dunia Qatar ini. - Foto EPA-EFE
DUA KEMENANGAN HEBAT: Jepun menewaskan dua gergasi Eropah, Jerman dan Sepanyol, untuk layak ke pusingan 16 pasukan terakhir Piala Dunia Qatar ini. - Foto EPA-EFE -

PASUKAN Asia bukan lagi pasukan yang mudah untuk diatasi.

Dari segi taktikal, kita tidak jauh ketinggalan berbanding pasukan lain seperti dari Eropah.

Dan ia terbukti.

Semua pasukan Asia di Piala Dunia kali ini sebenarnya telah mencatatkan kemenangan atau keputusan seri, kecuali pasukan tuan rumah Qatar.

Cuma sayang, pasukan seperti Arab Saudi, yang berjaya menewaskan juara dua kali Argentina 2-1, gagal mara ke pusingan 16 pasukan terakhir.

Tetapi, melihat keputusan mereka - kemudian ditewaskan 0-2 oleh Poland dan 1-2 kepada Mexico - walaupun mereka tewas, negara Timur Tengah itu sebenarnya telah menunjukkan peningkatan prestasi di padang.

Keputusan itu juga tidak menunjukkan mereka dibelasah teruk.

Saya fikir ia boleh dikatakan kempen yang baik untuk mereka di Piala Dunia 2022.

Iran, yang menumpaskan Wales 2-0, juga bermain dengan bagus meskipun terkandas dalam pusingan kumpulan.

Australia - pasukan yang menjadi sebahagian Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) - juga mampu membuat kejutan dan layak ke pusingan pusingan 16 pasukan terbaik buat kali kedua sejak 2006.

Tanpa pemain berkaliber seperti Tim Cahill dan Harry Kewell dalam skuad, Australia, yang hanya dibintangi bekas pemain Liga Perdana England (EPL) Aaron Mooy dan Matthew Ryan, dapat ke peringkat kalah mati.

Kejutan pasukan Asia di Piala Dunia ini berlaku sebab tiada siapa yang menjangkakan apa-apa daripada mereka pada perlawanan pertama pusingan kumpulan.

Mereka sering dipandang remeh.

Tetapi, selepas itu, apabila sudah masuk perlawanan kedua dan ketiga, pasukan lain sedar bahawa pasukan Asia bukan calang-calang.

Jadi, mereka seterusnya menurunkan pasukan yang kuat dan bermain dengan lebih fokus dan menyerang bahagian lemah pasukan Asia.

Sebab itu, kita melihat pasukan Asia bergelut sedikit dalam perlawanan seterusnya, dengan pasukan seperti Iran dan Arab Saudi tidak dapat menempah tempat mereka di pusingan selanjutnya.

Bagaimanapun, bertambahnya bilangan pemain Asia yang kini mengembangkan sayap mereka di luar negara dan jurulatih antarabangsa hebat yang membimbing pasukan masing-masing - seperti Herve Renard (Arab Saudi), Carlos Queiros (Iran) dan Paulo Bento (Korea Selatan) - menjadi faktor penyumbang kepada kejayaan ini.

Saya fikir untuk pemain yang beraksi dalam pasukan nasional, apa yang penting adalah sikap tenang dan pengalaman.

Sebagai contoh, apabila anda ada pemain yang bermain dalam liga tempatan berbanding yang beraksi di liga luar negara.

Pendedahan pemain di luar negara memperolehi setiap minggu menentang lawan sukar membantu meningkatkan permainan mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Lihat sahaja pemain Asia dari Jepun dan Korea Selatan yang bermain dalam liga besar - Serie A Italy, Liga Perdana England (EPL) dan Bundesliga Jerman.

Jadi, apabila mereka kembali ke pasukan nasional untuk bermain dalam kejohanan besar, mereka tidak rasa kekok sebab sudah biasa berdepan dengan pemain bertaraf dunia.

Ia tidak seperti dahulu, yang mana mereka hanya bermain dalam liga tempatan seperti Liga-J di Jepun, dan apabila mereka ke Piala Dunia, bermain menentang pasukan handal menjadi sesuatu yang baru dan rasa berbeza.

Tetapi sekarang, mereka tidak lagi asing kepada saingan sebegini.

Dan bagi saya, itu penting.

Misalnya, ketika Jepun menurunkan pemain Arsenal, Takehiro Tomiyasu, dan bekas pemain Liverpool, Takumi Minamino, dari bangku simpanan menentang Jerman.

Pemain-pemain ini bukan calang-calang.

Mereka ada pengalaman dan tidak gentar berdepan pasukan gergasi.

Sebagai seorang jurulatih, saya juga jadi lebih yakin dapat bergantung pada pemain-pemain ini.

Dengan persembahan mengagumkan pasukan Asia di Piala Dunia 2022, ia menarik untuk melihat masa depan bola sepak di rantau ini.

Mungkin pada tempoh pemindahan Januari akan datang, kita akan dapat lihat lebih ramai pemain Asia beraksi di Eropah.

► Penulis ialah penolong jurulatih Geylang International. Rencana ini berdasarkan perbincangan podcast #NoTapis 'Extra Time', sebuah podcast sukan terbitan Berita Harian.

Piala Dunia Qatar yang sedang berlangsung di Qatar buat julung-julung kali diadakan di tengah-tengah musim bola sepak domestik di Eropah. Jadual ini mungkin menjejas momentum di peringkat kelab, tetapi ia juga merupakan peluang keemasan bagi pemain-pemain yang kurang dikenali untuk menonjolkan bakat dan memikat kelab-kelab baru. Berikut lima pemain yang telah menarik perhatian BERITA HARIAN (BH) dalam pusingan kumpulan yang dijangka dapat memikat kelab-kelab besar semasa tempoh pindahan pemain bulan depan.

Mohammed Kudus, 22 tahun, Ghana (Kelab: Ajax di Belanda)

Beliau kurang diketahui di luar Amsterdam sebelum Piala Dunia ini, tetapi nama Mohammed Kudus kini disebut-sebut oleh lebih ramai orang di Eropah. Pemain kreatif di midfield ini menjaringkan dua gol untuk membantu Ghana menewaskan Korea Selatan di peringkat kumpulan dan antara pemain terbaik semasa Ghana bertemu Portugal, walaupun pasukan dari Eropah itu ditaburi bintang seperti Cristiano Ronaldo dan Bernardo Silva.

Enzo Fernandez, 21 tahun, Argentina (Kelab: Benfica di Portugal)

Walaupun beliau tidak diberi peluang memulakan perlawanan setakat ini, potensi pemain yang beraksi dalam liga Portugal ini jelas ketara apabila dimasukkan sebagai pemain gantian. Malah, beliau menyerlah semasa perlawanan dengan Arab Saudi dan mengulangi prestasi hebat semasa Argentina menewaskan Mexico - menjaringkan satu gol sensasi untuk membolehkan Argentina menang 2-0.

Tajon Buchanan, 23 tahun, Canada (Kelab: Club Brugge di Belgium)

Walaupun Canada antara pasukan pertama yang tersingkir dari Piala Dunia ini, cara permainannya yang bertenaga dan bersungguh-sungguh tetap menarik perhatian.

Josko Gvardiol, 20 tahun, Croatia (Kelab: RB Leipzig di Jerman)

Selain ketangkasannya dalam permainan, beliau juga telah menunjukkan ciri-ciri kepimpinan yang matang di padang. Dijangka 'dipancing' kelab lebih besar tidak lama lagi.

Piero Hincapie, 20 tahun, Ecuador (Kelab: Bayer Leverkusen di Jerman)

Pemain pertahanan tengah ini antara sebab benteng Ecuador begitu tangkas di Qatar. Beliau kini dapat perhatian kelab besar di England, Italy dan Sepanyol.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg