Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan Singa kurang mengaum, kalah 0-2 kepada Tajikistan

Sep 9, 2023 | 10:26 AM
MENGECEWAKAN: Pemain Singapura Adam Swandi (tengah) dilayangkan kad merah kerana dinilai menumbuk pemain Tajikistan dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Bishan pada Jumaat.
MENGECEWAKAN: Pemain Singapura Adam Swandi (tengah) dilayangkan kad merah kerana dinilai menumbuk pemain Tajikistan dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Bishan pada Jumaat. - Foto ST


Stadium berbeza, tetapi nasib yang serupa untuk pasukan Singa.

Di Stadium Bishan pada Jumaat, Singapura, yang dikurangkan kepada 10 pemain, tewas 0-2 di tangan Tajikistan dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa. 

Dengan kekalahan itu, gesaan agar ketua jurulatih Singapura Takayuki Nishigaya dipecat juga semakin ketara.

Ejekan “Nishigaya itu anjing” lantang disuarakan oleh sebilangan daripada 2,211 penyokong tempatan yang hadir di akhir perlawanan ketika warga Jepun itu menuju ke dalam bilik salinan.

Ditanya Berita Harian (BH) mengenai detik tersebut selepas perlawanan, Nishigaya, menerusi seorang penterjemah, berkata:

“Saya rasa mengapa mereka mengatakan sebegini adalah untuk mendorong pemain (menjadi lebih baik). Itulah pemahaman saya…Kita harus menggunakan dan mengubahnya menjadi semangat (untuk perlawanan seterusnya).”

Gesaan penyokong itu mula didengar pada Jun dalam satu lagi siri perlawanan persahabatan antarabangsa.

Singapura, yang menduduki tangga k-158 dunia, hanya mampu mencatat keputusan seri menentang lawan yang boleh diatasi, Papua New Guinea 2-2 dan Solomon Islands 1-1 di Stadium Negara.

Papua New Guinea berada setangga di bawah Singapura, manakala Solomon Islands adalah pasukan ke-133 dalam ranking dunia.

Pada Jumaat malam, skuad Nishigaya, walaupun dirangsang oleh kepulangan beberapa pemain berpangkalan luar negara, kelihatan bergelut pada awal perlawanan.

Kekurangan fokus semasa mempertahankan benteng dari sepakan penjuru meletakkan Tajikistan, pasukan nombor 110 dunia, di depan seawal lima minit perlawanan.

Pemain midfield Rahimov Muhammadjon, yang tidak diawasi, menjaringkan gol pertama pasukan pelawat.

Singapura cuba untuk mencari gol penyamaan namun setiap serangan yang diatur kurang kreativiti dan sengat.

Penyerang Tampines Rovers Faris Ramli dan pemain midfield kelab Liga 1 Indonesia Persebaya Surabaya Song Uiyoung, yang kembali ke skuad negara sejak Piala AFF pada Januari, diturunkan memimpin bahagian serangan. 

Rembatan tepat pada sasaran Singapura hanya muncul pada minit ke-57 oleh percubaan jarak jauh kapten Hariss Harun. 

Keadaan Singapura menjadi lebih sukar pada minit ke-72 apabila pemain midfield Adam Swandi dilayangkan kad merah kerana dinilai menumbuk lawan.

Tajikistan kemudian memanfaatkan kelebihan pemain dan menyempurnakan malam mereka di kota Singa dengan jaringan Hanoov Vahdat pada minit ke-95 untuk menang 2-0.

Hariss memberitahu BH bahawa ia bukan masanya untuk pasukan berasa panik meskipun Singapura bakal menentang Guam dalam pusingan pertama kelayakan Piala Dunia pada Oktober.

“Kami tahu kami perlu bertambah baik tapi kami bukan pada tahap di mana kami perlu panik. Harapannya adalah pemain seperti Ikhsan dan Ilhan (Fandi) yang cedera dan Irfan (Fandi) yang tidak cukup cergas untuk tempoh perlawanan ini untuk kembali disertakan dalam skuad.

“Saya lebih mahukan mereka cergas dan berjuang mati-matian bulan depan dan mudah-mudahan, kami mempunyai kesebelasan utama yang lebih kuat pada waktu itu.”

Singapura berpeluang memperbaiki persembahan mereka ketika seterusnya berdepan pasukan nombor 153 dunia Chinese Taipei dalam satu lagi perlawanan persahabatan di Stadium Bishan pada Selasa malam. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg