Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasukan Singa mahu buktikan diri masih pasukan kebanggaan negara
Gavin Lee: Pertandingan lawan Paraguay beri peluang pasukan kenal pasti kelemahan.
Pasukan Singa mahu buktikan diri masih pasukan kebanggaan negara
Kekalahan 0-6 kepada Malaysia masih segar dalam ingatan, tetapi jurulatih Singa, Gavin Lee, mahu pasukannya membuktikan bahawa mereka masih pasukan yang sama yang pernah membanggakan negara sebelum ini.
Menjelang pertemuan persahabatan menentang Paraguay pada 13 November, Gavin mengakui pasukannya perlu mengambil pengajaran daripada kekalahan tersebut, namun menegaskan tumpuan kini harus diberikan kepada cara mereka bangkit semula dan memberikan respons di padang.
Beliau mahu pasukan Singa mengingatkan penyokong mengapa mereka pernah memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan, ketika Singa berdepan Paraguay, pasukan yang pernah beraksi di Piala Dunia.
“Perlawanan menentang Malaysia dan perlawanan esok berada dalam konteks yang berbeza. Satu ialah perlawanan kompetitif, manakala esok (13 November) ialah perlawanan persahabatan sebagai persiapan kami.
“Namun, apa yang jelas ialah kami sudah mempelajari pengajaran daripada perlawanan menentang Malaysia. Kekalahan itu tanggungjawab kami.
“Kami melakukan kesilapan, kami mengakuinya dan mahu menjadi lebih baik kerana kami tahu persembahan itu tidak boleh diterima.
“Jadi, penting bagi kami untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa kami masih pasukan yang sama yang mereka banggakan sebelum keputusan akhir perlawanan itu,” katanya dalam sidang media praperlawanan di Stadium Negara pada 12 November.
Namun, cabaran menentang pasukan seperti Paraguay sudah tentu bukan mudah.
Pasukan Amerika Selatan itu mempunyai pengalaman beraksi di pentas Piala Dunia, sekali gus menawarkan ujian berbeza buat Singapura.
Lee melihat perlawanan sebegini sebagai sebahagian penting dalam proses perkembangan pasukannya, terutama apabila pemain diberi peluang menguji kemampuan menentang lawan yang lebih berpengalaman di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata pemain perlu membiasakan diri dengan tahap persaingan sedemikian melalui pendedahan yang lebih kerap.
“Ini perlawanan yang kami mahu bermain dan inilah jenis lawan yang pemain mahu hadapi. Semakin kerap kita bermain menentang pasukan seperti ini, semakin terbiasa kita dengan tahap tersebut.
“Esok hanyalah satu lagi langkah untuk memberikan pemain pengalaman sebegini. Tugasnya memang sukar, tetapi sukar tidak bermakna mustahil,” katanya.
Lee turut menegaskan bahawa pasukan Singa tidak mahu membiarkan reputasi atau latar belakang lawan mempengaruhi pendekatan mereka.
Sebaliknya, beliau berkata pasukannya perlu melihat perlawanan itu sebagai peluang untuk mengenal pasti kelemahan sendiri, selain menguji aspek permainan yang sudah menunjukkan perkembangan.
Beliau tekankan juga aksi menentang Paraguay dan Brazil dalam tempoh antarabangsa ini kekal sebagai sebahagian daripada persiapan ke Piala Asia, meskipun kejohanan itu ditunda dari Januari 2027 ke Disember 2027.
Bagi pemain pertahanan Singa, Lionel Tan, peluang berdepan pasukan yang mempunyai pengalaman Piala Dunia merupakan sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.
Beliau berkata pemain perlu memanfaatkan peluang tersebut untuk mengukur kemampuan sendiri, sambil menegaskan bahawa pasukan sudah menunjukkan peningkatan sejak beraksi bersama Lee dan barisan kejurulatihannya.
“Ini peluang yang sangat baik untuk menguji kemampuan menentang lawan kuat yang pernah beraksi di Piala Dunia. Kami tidak selalu mendapat peluang sebegini, jadi kami perlu memanfaatkannya sebaik mungkin,” katanya.
Tan turut mengakui pemain kecewa dengan keputusan menentang Malaysia, tetapi menegaskan mereka tidak boleh terus dibelenggu kekalahan tersebut.
“Sebagai pemain, kami semua sangat kecewa dengan apa yang berlaku ketika menentang Malaysia. Apa yang lebih penting sekarang ialah apa yang boleh kami lakukan seterusnya.
Lee turut mengesahkan bahawa beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengenai kedudukannya sebagai ketua jurulatih, dengan pengumuman lanjut akan dibuat pada waktunya.
Buat masa sekarang, kontraknya akan tamat pada Mei 2027, sebelum kejohanan Piala Asian bermula pada Disember.
Namun, beliau yakin dengan diri beliau untuk kekal sebagai jurulatih pasukan Singa.
“Jika anda tanya saya, saya yakin dengan diri sendiri setiap hari. Bukan kerana perkara yang sudah saya lakukan, tetapi kerana usaha dan masa yang saya luangkan untuk menilai serta memperbaiki diri,” katanya.