Pasukan Singa yang berkunjung ke Stadium Gelora Bung Karno di Indonesia dalam perlawanan pertama Kumpulan A Piala Asean tumbang 2-0 kepada pasukan Indonesia pada 25 September.

Walaupun stadium tidak dipenuhi penonton, sorakan penyokong peminat Indonesia jelas kedengaran ketika tuan rumah memulakan permainan dengan penuh agresif.

Indonesia bermula garang apabila ia terus melancarkan serangan demi serangan manakala Singapura kelihatan agak terjejas untuk mengatur rentak dan menyerang.

Pemain sayap Indonesia, Luke Vickery, menjadi duri bagi pertahanan Singa pada separuh masa pertama menerusi kelincahan dan lariannya di bahagian sayap.

Pada minit keenam, Vickery melepasi benteng pertahanan Singa sebelum membuat hantaran lintang ke arah Dean James, namun percubaan pemain bek kiri itu tersasar.

Indonesia terus meningkatkan tekanan dan akhirnya memperoleh gol pembukaan pada minit ke-13.

Vickery sekali lagi memainkan peranan penting apabila bola hantaran lintangnya menemui Ragnar Oratmangoen, yang memanfaatkan peluang tersebut untuk menolak bola masuk ke gawang Singa, memberikan Indonesia kelebihan 1-0.

Tuan rumah hampir menggandakan kelebihan tidak lama kemudian apabila Vickery sekali lagi menggugat pertahanan Singa sebelum bola hantarannya temui James yang membuat percubaan ke arah pintu gawang Singa, tetapi percubaan itu gagal menemui sasaran.

Sementara itu, apa sahaja serangan yang cuba diatur Singapura pantas dipatahkan Indonesia, yang terus menekan dan menguasai sebahagian besar permainan, dengan separuh masa pertama berakhir 1-0 memihak Indonesia.

Namun, Singa tampil dengan persembahan lebih baik selepas rehat.

Singapura mula menguasai bola dengan lebih baik dan berjaya mengatur beberapa gerakan yang mengancam pertahanan Indonesia.

Salah satu gerakan menarik menyaksikan bola hantaran Harhys Stewart sampai kepada Farhan Zulkifli, yang kemudian menolak bola ke arah Song Ui-young.

Song yang merupakan pemain tengah kemudian melepaskan rembatan jarak jauh yang menguji penjaga gawang Indonesia, Emil Audero. Namun percubaannya berjaya diselamatkan.

Pasukan Singa kemudian berdepan situasi sukar apabila Safuwan Baharudin dilayangkan kad kuning selepas mengasari Mitchell Baker.

Pengadil kemudiannya membuat semakan bagi kemungkinan kad merah atas alasan menafikan peluang jaringan yang jelas.

Keadaan Singa bertambah buruk apabila Indonesia diberikan sepakan penalti susulan sepakan percuma – di mana bola terkena tangan Song semasa tendangan itu diambil.

Justeru walau Singa tampil dengan prestasi lebih baik, pasukan Indonesia yang berjaya menggandakan kelebihan mereka menjadi 2-0 apabila Ole Romeny memanfaatkan penalti tersebut.

Perlawanan Singa selanjutnya ialah Bangladesh pada 28 September.

Dalam satu lagi perlawanan berasingan dalam kumpulan yang sama, Malaysia menundukkan Bangladesh 3-0 bagi meletakkan pasukan negara jiran Singa itu di kedudukan teratas Kumpulan A.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti