PARA penonton bersorak apabila seramai 38 pekerja migran 'memperagakan' tubuh sasa mereka sewaktu Pertandingan Bina Badan Pusat Pekerja Migran (MWC) yang diadakan pada Ahad.
Pertandingan tersebut dihadiri kira-kira 150 penonton di Pusat Rekreasi MWC di Pioneer.
Ia adalah acara pertama di Singapura yang mempromosikan bina badan dan kecergasan kepada pekerja migran.
Pengarah eksekutif MWC Encik Bernard Menon berkata matlamat pertandingan adalah memberi pekerja migran peluang untuk "menyertai sesuatu yang bermakna".
"Dengan Covid-19 dan pelbagai sekatan, ramai pekerja mengalami tekanan emosi dan mental.
"Acara seperti ini adalah cara mengalihkan perhatian pekerja dan memberi mereka tujuan. Kami mahu mereka tahu mereka boleh menikmati masa bermanfaat di Singapura dan pada masa yang sama amalkan gaya hidup sihat," kata Encik Menon.
Terdapat rancangan menjadikan pertandingan itu sebagai acara tahunan dan menubuhkan gimnasium yang lengkap di Pusat Rekreasi MWC.
Persatuan bagi Bina Badan dan Susuk Badan (Singapura) atau ABPS (Singapore) telah menyokong acara ini dengan menyediakan peralatan dan jurulatih sukarelawan untuk sesi senaman mingguannya pada hari Sabtu.
"Hari ini, mereka bukan pekerja tetapi mereka adalah atlet. Kami berharap kami telah berkongsi kemahiran yang boleh mereka simpan selama-lamanya.
"Semoga mereka teruskan latihan dan menyebarkan tabiat ini kepada orang lain." kata Presiden ABPS, Encik Alan Ng.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg