Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelabur Qatar siap tawaran beli Man U
Pelabur Qatar siap tawaran beli Man U
LONDON: Pelabur Qatar bersedia mengemukakan secara rasmi tawaran untuk membeli kelab Liga Perdana England (EPL) Manchester United "dalam beberapa hari akan datang", lapor Bloomberg pada Isnin, memetik sumber yang dekat pada perjanjian itu.
Laporan itu menambah bahawa konsortium tersebut akan mengemukakan tawaran awal menjelang hujung minggu ini, dan pegawai Penguasa Sukan Qatar sedang membantu persiapan bagi tawaran itu.
Syarikat Ineos milik Jim Ratcliffe secara rasmi menyertai proses tawaran itu untuk membeli United pada Januari selepas pemilik Amerika Syarikat kelab itu, keluarga Glazer, berkata pada November lalu bahawa mereka telah mula memikirkan beberapa pilihan, termasuk pelaburan baru atau potensi penjualan.
Awal Februari ini, akhbar Daily Mail melaporkan bahawa pelabur Qatar sedang merancang untuk mengemukakan tawaran besar bagi membeli kelab Old Trafford itu.
Laporan Daily Mail menyatakan pelabur yang berminat itu berasingan daripada Pelaburan Sukan Qatar, yang merupakan pemilik kelab Perancis Paris Saint-Germain, dan bahawa wang itu akan datang daripada "dana individu" dan bukan dana kekayaan negara.
Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, peminat Manchester United dan tidak mungkin mahu melepaskan peluang memiliki apa yang dianggap secara meluas sebagai salah satu jenama sukan terbesar di dunia.
Adam Sommerfield, pakar pelaburan sukan di Certus Capital, menganggarkan bahawa sebarang tawaran untuk United perlu melebihi bayaran £4 bilion ($6.45 bilion) untuk berjaya.
Ia akan menjadikannya salah satu perjanjian francais sukan yang terbesar.
United kendalian Erik ten Hag kini menghuni tangga ketiga dalam EPL dengan 46 mata selepas 23 perlawanan, dua mata di belakang Manchester City dan lima mata daripada pendahulu Arsenal. - Reuters.