Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelari Belanda juara kategori lelaki; Kenya sapu bersih kategori wanita

Nov 4, 2024 | 3:45 PM
Abdi Nageeye dari Belanda melintasi garisan penamat dan meraih kemenangan dalam perlumbaan Maraton New York City kategori lelaki pada 3 November.
Abdi Nageeye dari Belanda melintasi garisan penamat dan meraih kemenangan dalam perlumbaan Maraton New York City kategori lelaki pada 3 November. - Foto REUTERS

NEW YORK: Pelari Belanda, Abdi Nageeye, menamatkan pertarungan sengit di penghujung larian untuk memenangi Maraton New York City dengan catatan masa 2 jam 7 minit dan 39 saat pada 3 November.

Sheila Chepkirui pula mengetuai kejayaan Kenya yang menyapu bersih kategori wanita, dengan masa 2 jam 24 minit dan 35 saat.

Evans Chebet yang menjuarai perlumbaan pada 2022, hampir meraih kemenangan dalam perlumbaan itu sehingga 400 meter terakhir, apabila beliau dipintas oleh Nageeye.

Pelari Kenya itu menduduki tempat kedua dengan catatan masa 2 jam 7 minit dan 45 saat, manakala rakan senegaranya, Albert Korir, menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 2 jam 8 minit.

“Saya fikir saya sedang bermimpi,” kata Nageeye.

Kejayaan Nageeye dalam perlumbaan itu terasa lebih manis apatah lagi selepas perlawanan di Olimpik Paris, apabila beliau bertembung dengan seorang pelari dan tidak dapat menamatkan perlumbaan.

Chebet, salah seorang pelari paling handal dalam sukan itu yang telah memenangi dua kemenangan di Boston, kelihatan sedang menguasai larian ketika beliau memecut di atas Queensboro Bridge pada penanda 16-batu, dengan harapan dapat menggoyahkan pelari di hadapannya.

Nageeye segera mengejar Chebet, dan kedua-duanya berjaya meninggalkan pelari lain di kilometer terakhir.

Mereka berlari sebelah menyebelah diiringi sorakan gemuruh peminat di sepanjang laluan.

Namun, ketika mereka berlari di selekoh terakhir menuju ke Central Park, Chebet kehabisan tenaga dan Nageeye mengambil kesempatan memintasnya sehingga ke garisan penamat.

Selepas dua tahun menduduki tempat ketiga, kemenangan akhirnya menjadi milik Nageeye.

Dalam kategori wanita, Chepkirui dilihat berlari dengan teknik yang sempurna, kekal mendahului perlumbaan bersama sekumpulan pelari lain sejak awal perlumbaan.

Dalam larian yang sengit di kilometer terakhir, Chepkirui berjaya memintas juara bertahan dari Kenya, Hellen Obiri, dan seterusnya meraih kemenangan utama pertamanya.

Obiri, yang menduduki tempat ketiga di Olimpik Paris, menamatkan larian 14 saat selepas Chepkirui, manakala Vivian Cheruiyot, 41 tahun, menambah lagi kejayaan untuk Kenya, dengan menduduki tempat ketiga.

Dengan jarak semakin dekat sebelum garisan penamat, Cheruiyot ketinggalan di belakang Chepkirui dan Obiri. 

Persaingan sengit berlaku antara dua pelari itu, dengan Chepkirui berjaya memintas Obiri sedikit demi sedikit, dan di 200 meter terakhir, jelas bahawa kemenangan adalah miliknya.

“Ia sangat bermakna buat saya – ia menunjukkan bahawa latihan saya berkesan,” kata Chepkirui. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg