PESERTA sukan layar Singapura Kimberly Lim dan Cecilia Low (gambar) telah melakar sejarah di Olimpik dengan menjadi yang pertama di negara ini yang layak ke perlumbaan pingat 49er FX di Tokyo.
Pasangan ini semalam mendapat 97 mata bersih selepas 12 perlumbaan, yang menempatkan mereka ke tangga ke-10 daripada senarai 21 bot.
Duo dari Brazil Kahena Kunze dan Martine Grael menduduki tempat pertama dengan 70 mata bersih.
Pelayar Singapura yang lain di Tokyo adalah Ryan Lo (Laser lelaki) dan Amanda Ng (selancar angin).
Lo menduduki tempat ke-21 daripada 35 selepas 10 perlumbaan, sementara Ng menduduki tempat ke-26 daripada 27 selepas 12 perlumbaan.
Mereka tidak memenuhi syarat untuk perlumbaan pingat acara masing-masing.
Lim dan Low adalah pelayar Singapura pertama yang membuat kedudukan 10 teratas di Olimpik dan layak ke perlumbaan pingat yang dijadualkan esok.
Pada Sukan Olimpik London 2012, pelayar Laser Colin Cheng menduduki tempat ke-15 daripada 49 bot dan merupakan penamat utama Asia.
Laporan Olimpik Tokyo: Sukan Olimpik tidak menghampakan dengan pelbagai kejutan


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg