SAO PAULO: Legenda bola sepak Brazil, Pele (gambar atas), kini menjalani rawatan di hospital akibat barah kolon.
Pele, yang memenangi Piala Dunia tiga kali, telah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan pada September lalu.
Pada ketika itu, pihak hospital berkata beliau perlu menjalani kemoterapi susulan.
Kelmarin, Hospital Albert Einstein di Sao Paulo berkata Pele, 81 tahun, berada dalam keadaan stabil dan akan dibenar pulang dalam beberapa hari.
Ia juga berkata Pele akan meneruskan rawatannya.
Bulan lalu, Pele berkata beliau berasa sihat-sihat sahaja dan berada dalam keadaan lebih baik selepas dibenarkan pulang dari hospital.
Beliau telah mendapatkan rawatan di hospital sejak 31 Ogos, selepas ketumbuhan dikesan semasa beliau menjalani pemeriksaan rutin.
Kesihatan beliau telah mencetus keprihatinan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pele telah menjalani pembedahan prostat pada 2015, selepas beliau dimasukkan ke hospital buat kali kedua dalam enam bulan dan beliau dimasukkan ke hospital sekali lagi pada 2019 akibat masalah lain.
Pele ialah penjaring gol terbanyak Brazil, dengan 77 gol dalam 92 perlawanan dan hanya seorang daripada empat pemain yang pernah menjaringkan gol di empat edisi Piala Dunia. - Agensi berita.