Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Peluang asah bakat bola sepak di Sepanyol

Projek nasional Unleash The Roar! untuk pemain muda ikat perjanjian dengan Akademi La Liga sebagai rakan latihan luar negara pertama
Nov 29, 2022 | 05:30 AM



PEMAIN bola sepak muda tempatan yang menunjukkan potensi dan bakat kini berpeluang berlatih di Madrid, Sepanyol, untuk mengasah dan mengembangkan lagi bakat mereka di samping pemain muda lain dari serata dunia.



Projek bola sepak nasional, Unleash The Roar! (UTR!) telah mengikat satu perjanjian bersama Akademi La Liga Sepanyol sebagai rakan latihan luar negara pertamanya.



Mengumumkan perkembangan terkini tentang projek tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif UTR!, Encik Eric Chua, berkata mereka telah bekerjasama dengan Akademi La Liga, yang merupakan sebahagian daripada ESC (Education Sports Coliving), untuk membantu mengembangkan lagi kemahiran pemain bola sepak Singapura yang menunjukkan bakat besar.



Beliau menambah kerjasama dan perkongsian itu menjadi sebahagian penting dalam ekosistem UTR!, yang sebelum ini turut menyaksikan pembentukan 10 Akademi Bola Sepak Sekolah (SFA) di sekolah-sekolah terpilih.



Bercakap kepada wartawan Singapura di Sepanyol baru-baru ini, di mana beliau telah mengunjungi kumpulan pertama seramai 20 pemain muda terpilih di kompleks ESC, Encik Chua, yang juga merupakan Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), berkata:



"Apa yang kita boleh perolehi dari ESC ialah peluang yang sangat pelbagai dan sangat baik untuk pemain muda kita untuk terlibat dan menyesuaikan diri mereka sepenuhnya dalam sistem dan metadologi bola sepak Sepanyol.



"Selain pemain daripada SFA, kami telah mendapatkan pemain terbaik dari pelbagai bahagian ekosistem (bola sepak) tempatan untuk turut berada di sini.



"Di samping latihan, terdapat juga perlawanan persahabatan dengan bakat muda dari Sepanyol, yang mungkin kita tidak dapat anjurkan di Singapura buat masa ini.



"Tentunya di masa akan datang, kami berharap di peringkat tempatan, kami juga boleh mengembangkan persekitaran kami menjadi lebih mampan dan lebih pelbagai di semua peringkat.



"Namun begitu, ia akan mengambil sedikit masa."



Justeru, dengan adanya pangkalan latihan di luar negara, Encik Chua merasakan bahawa perkongsian seperti dengan ESC ini akan membuka lebih banyak laluan untuk bakat tempatan terbaik meneruskan pembangunan bola sepak mereka.



"Mereka terpaksa keluar dari zon selesa dan melibatkan diri dalam pusat pembangunan terkemuka di mana mereka boleh didedahkan kepada tahap latihan dan saingan yang lebih tinggi," tambahnya.



ESC merupakan sebuah pusat kecemerlangan sukan yang dibina khas yang menempatkan sebuah sekolah antarabangsa, penginapan pelajar dan kemudahan sukan yang digunakan oleh kedua-dua La Liga dan Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA) untuk melahirkan bintang bola sepak dan bola keranjang generasi masa depan.



Selain Singapura, ia juga pernah menjadi tuan rumah kepada pasukan remaja dari Jepun dan Korea sebelum ini.



Semasa lawatan tiga hari ke Madrid, Encik Chua telah menyaksikan latihan dan bertemu dengan kumpulan pertama pemain berusia 12-13 tahun, yang dipilih daripada program SFA UTR! serta Pusat Pembangunan Akademi Bola Sepak ActiveSG dan program pengenalan bakat Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).



Beliau turut meluangkan masa dengan memberi sokongannya kepada pemain muda Singapura semasa perlawanan terakhir mereka menentang pasukan Atletico Madrid Bawah 13 Tahun (U13) sebelum mereka menamatkan tempoh latihan selama sebulan di Madrid, berlatih bersama beberapa kelab terkemuka La Liga seperti Real Sociedad, Celta Vigo dan Atletico Madrid.



Projek UTR! semalam turut mengumumkan bahawa dua SFA bagi pemain perempuan akan diperkenalkan pada 2023 buat kali pertama.



Sekolah Menengah Woodlands akan mengadakan program bola sepak itu untuk pelajarnya, manakala Sekolah Perempuan Methodist akan bekerjasama dengan Sekolah Menengah Boon Lay dan Sekolah Menengah Westwood.



Meskipun perkongsian luar negara dengan ESC ini masih di peringkat awal, Encik Chua berkata projek UTR! masih akan mencari peluang dan rakan kongsi baru yang lain terutamanya yang dapat membantu dalam pembangunan bakat muda Singapura.



"Pada masa akan datang, kami mungkin akan meningkatkan bilangan kumpulan usia yang berbeza yang mampu berlatih di luar negara dan kami perlu mencari rakan kongsi yang akan membolehkan kami melaksanakan rancangan itu," ujarnya lagi.



Ketua jurulatih UTR! yang mengendalikan pasukan Singapura itu, Jaime Serra, berkata latihan di Sepanyol itu merupakan pengalaman yang baik.



Ia telah membolehkan pemain muda ini untuk meneruskan pendidikan bola sepak mereka dalam persekitaran profesional di mana metodologi latihan yang diterapkan di Sepanyol serupa dengan apa yang mereka lalui di SFA.



"ESC adalah rakan kongsi yang ideal kerana metodologi latihan mereka adalah serupa dengan apa yang kami ada di bawah Kurikulum Bola Sepak Nasional di mana kami mengajak para pemain kami bermain dengan gaya permainan berasaskan penguasaan (bola), tempo tinggi," kata Serra.



Pelaksanaan projek UTR! yang diumumkan pada Mac tahun lalu, diharapkan dapat mewujudkan jumlah bakat yang kukuh bagi impian melayakkan diri ke Piala Dunia Fifa 2034.



Sebagai sebahagian daripada program UTR!, inisiatif SFA, yang pertama kali diumumkan pada November lalu, berikutan perjanjian perkongsian dengan La Liga, berusaha untuk meningkatkan dan mengukuhkan program bola sepak di 10 sekolah yang merintis program SFA.



Akademi bola sepak itu, yang merupakan salah satu daripada tunggak projek UTR! bertujuan menjadi 'pembekal' bagi pemain muda cekap dari segi teknikal, dan sebahagian ekosistem pemain muda di kelab bola sepak tempat tempatan dan akademi swasta.



SFA juga akan menganjurkan lebih banyak kejohanan dan menawarkan program biasiswa pelbagai rupa, termasuk latihan jangka pendek, seperti bersama ESC dan biasiswa bola sepak jangka panjang di luar negara menjelang tahun depan.



Di samping mempunyai jurulatih La Liga yang bekerja sama dengan jurulatih tempatan, ciri utama lain program ini termasuk peningkatan kekerapan latihan - sehingga empat kali seminggu daripada purata dua - dan penerapan sains sukan semasa latihan.



Seramai 550 pemain lelaki dan perempuan berumur antara 13 hingga 16 tahun dijangka menyertai program SFA pada 2023.



Ini adalah peningkatan daripada 300 belia dalam program perintis SFA yang dilancarkan tahun ini.




"Di samping latihan, terdapat juga perlawanan persahabatan dengan bakat muda dari Sepanyol, yang mungkin kita tidak dapat anjurkan di Singapura buat masa ini... Mereka terpaksa keluar dari zon selesa dan melibatkan diri dalam pusat pembangunan terkemuka di mana mereka boleh didedahkan kepada tahap latihan dan saingan yang lebih tinggi."
- Encik Eric Chua, Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif UTR!




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >