LONDON: Harapan Manchester United untuk ke Liga Juara-Juara terkandas sedikit selepas Brighton & Hove Albion (Brighton) menjaringkan gol dramatik pada minit ke-99 menerusi penalti.
Sebaliknya harapan Brighton untuk ke Liga Juara-Juara pula kembali cerah menyusuli kemenangan mereka itu.
United yang kini di tangga keempat Liga Perdana England (EPL) hanya empat mata di hadapan Liverpool yang berada di tangga kelima.
United telah bermain 33 kali sementara Liverpool 34 kali.
Dan Brighton ternyata layak memenangi perlawanan tsemasa menentang United, menyusuli pendekatan mereka yang tidak kenal erti penat sehingga akhirnya membuahkan hasil.
Pemain pertahanan United, Luke Shaw didapati telah memegang bola dalam kawasan penaltinya, selepas semakan semula video penolong jurulatih (VAR) mengesahkan kesalahan tersebut.
Brighton yang berada di tangga keenam pada masa ini, hanya empat mata di belakang Liverpool, yang telah bermain lebih dua perlawanan.
Sejurus wisel penamat ditiup, sorakan pasukan dan para peminat Brighton begitu jelas - berbeza dengan perasaan sedih yang dipamerkan mereka dua minggu lalu di Wembley selepas tewas kepada United dalam separuh akhir Piala FA, menerusi penalti.
Kededua pasukan dilihat mempunyai peluang-peluang baik, dengan pemain United, Antony melepaskan rembatan jauh dari sasaran gol di awal permainan, sedang Marcus Rashford dan Antony Martial kerap memberi ancaman kepada pintu gawang lawan.
Mujur penjaga gawang Brighton, Jason Steele, bermain baik untuk menghalang semua percubaan tersebut.
Pemain Brighton, Kaoru Mitoma, merembat terus ke tangan David de Gea, dan terlepas satu peluang baik selepas waktu rihat separuh masa, sementara Danny Welbeck juga tidak mengena sasaran dengan percubaannya.
Brighton terus mengasak kubu lawan sehingga hampir ke akhir perlawanan, dengan De Gea menyelamatkan gawangnya daripada percubaan Alexis Mac Allister dan Pervis Etupian.
Corak permainan yang dipamerkan Brighton di bawah pengurus Roberto de Zerbi seolah-olah membayangkan kemungkinan pasukan itu dapat melangkah ke Liga Juara-Juara pada musim akan datang.
Sudah pasti sekiranya Brighton mampu melangkah ke Liga Juara-Juara ia menjadikan suasana lebih menarik buat kelab itu.
Pasukan itu bagai membuktikan bahawa mereka telah pun mengatasi perasaan kecewa menyusuli kekalahan kepada United dalam Piala FA yang baru lalu itu.
Brighton memberi tekanan berterusan kepada United dengan intensiti tinggi. Ini membuat United kadang kala bagai sukar untuk menyaingi corak permainan Brighton.
Penalti yang disempurnakan Mac Allister membuat seluruh stadium tuan rumah bergegar dengan sorakan para peminat serta rakan sepasukan lain.
Brighton juga perlu berterimakasih kepada penjaga gawang mereka, Steele, yang bertindak cemerlang untuk memastikan golnya tidak dibolosi United.
Minggu depan, Brighton akan bertemu Everton dan dengan semangat yang dipamerkan mereka pada masa ini, kemungkinan kemenangan mampu menyebelahi pasukan ini.
Sementara itu, United yang masih lagi dalam kedudukan baik untuk melangkah ke Liga Juara-Juara mungkin tertekan menyusuli kekalahan terbaru ini.
Kekalahan ini adalah yang ketujuh dalam 17 perlawanan buat mereka - menang tujuh dan seri tiga kali. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg