LONDON: Pengurus Aston Villa, Unai Emery, menumpukan perhatiannya ke Crystal Palace hujung minggu ini, berikutan perlawanan cemerlang pasukannya ketika seri 3-3 Liga Perdana England, di padang sendiri menentang Liverpool pada 13 Mei.
Jhon Duran menjaringkan dua gol pada lima minit terakhir, untuk menyelamatkan satu mata tetapi mereka gagal menjamin tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.
“Kami mempunyai satu perlawanan lagi di Crystal Palace pada 19 Mei, dan kami sangat ghairah untuk ke sana kerana kami berpeluang mendapatkan tiga mata hari ini, tetapi kami tidak melakukannya,” kata Emery.
“Ia ada dalam genggaman kami dan kami perlu cuba dan fokus pada kerja kami esok. Kami akan berlatih pada waktu pagi untuk menyediakan perlawanan pada hari Ahad.
“Kami akan menganalisis secara mendalam perlawanan kami hari ini, dan pasukan lawan Crystal Palace.”
Villa kelihatan bersedia mengalami kekalahan keempat berturut-turut apabila gol sendiri oleh Emiliano Martinez dan jaringan Cody Gakpo dan Jarrell Quansah meletakkan Liverpool di landasan kemenangan – perlawanan terakhir pasukan Jurgen Klopp di tempat lawan.
Youri Tielemans menjaringkan gol untuk pasukan tuan rumah, tetapi dua jaringan dari pemain gantian Duran, membolehkan anak buah Emery lebih dekat ke carta teratas Eropah buat kali pertama sejak 1983.
Mereka berada di tempat keempat dengan 68 mata dengan berbaki satu perlawanan.
Sedang Emery terdesak menewaskan Palace, kemenangan atau keputusan seri Manchester City (yang memburu kejuaraan EPL) semasa menentang Tottenham Hotspur (yang kini di tempat kelima) pada 14 Mei sudah cukup untuk memastikan Villa di kedudukan empat teratas.
“Satu usaha cemerlang menjelang akhir pertandingan,” kata kapten Villa John McGinn. “Setelah melalui beberapa minggu yang sukar, kami bangkit dan memberikan segala-galanya.”
Kesilapan Martinez memberikan gol pembukaan kepada Liverpool selepas hanya dua minit ketika beliau meloloskan hantaran lintang Harvey Elliott ke gawang sendiri.
Villa bertindak balas positif apabila Tielemans menyamakan kedudukan.
Bagaimanapun, rentak kembali memihak kepada Liverpool apabila Gakpo menjaringkan gol selepas Martinez hanya mampu menepis percubaan Joe Gomez.
Villa ketinggalan 3-1 hanya tiga minit separuh masa kedua apabila Quansah melompat tinggi untuk menanduk masuk sepakan percuma Elliott.
Masa masih menyebelahi pasukan Emery untuk melancarkan serangan semula.
Nicolo Zaniolo mengalami kecederaan lalu Duran dimasukkan menggantikannya.
Pemain asal Colombia itu mempamerkan persembahan yang menakjubkan, apabila beliau memanfaatkan kesilapan Alexis Mac Allister untuk menyumbat gol dari tepi kotak pada minit ke-85.
Tiga minit kemudian hantaran Moussa Diaby memantul di pahanya, menghasilkan jaringan kedua beliau, sekali gus merupakan gol penyamaan.
Ia menyebabkan Liverpool hanya meraih satu mata yang tidak bermakna dalam kedudukannya di tempat ketiga. – AFP, Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg