Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Peluang Liverpool ‘belasah’ Man U

Mar 17, 2024 | 05:31 AM



Kalau ikut cerita, Manchester United, memang hebat.

Bukan calang-calang kelab, bukan pasukan sembarangan.

Sebaik masuk padang, kehadirannya digeruni. Mana-mana pasukan yang bertandang ke Old Trafford tidak diberi muka walau sedikitpun, Dengan pantas ia diterjah, disondolnya.

Banyak pasukan yang kalah, bergelimpangan dalam ketewasan.

Kalau ikut rekod, Man U memang jaguh. Pencapaiannya cukup memberangsangkan.

Tetapi itu semua dululah... zaman kegemilangan Red Devils di bawah pimpinan Alex Ferguson.

Sejak Ferguson bersara pada Disember 2012, pada usia 71 tahun, setelah merangkul 13 kejuaraan Liga Perdana England (EPL) dan memenangi 38 piala keseluruhannya, prestasi United terus merudum.

Lapan pengurus datang dan pergi, bermula dengan David Moyes, sebelum diganti oleh Ryan Giggs, Louis van Gaal, Jose Mourinho, Ole Gunnar Solksjaer, Michael Carrick, Ralf Rangnick dan kini Eric ten Hag.

Sejauh ini kelihatannya, hanya Mourinho dianggap pengurus paling berjaya selepas Ferguson. Beliau berjaya memenangi 58 peratus daripada kesemua perlawanan di bawah pimpinannya, menduduki tangga kedua EPL serta memenangi Piala Liga England dan Piala Liga Eropah pada musim 2016-2017.

Hari ini, Man U berdepan dengan Liverpool dalam perlawanan suku akhir Piala FA.

Man U tidak mudah melupakan bagaimana musuh ketatnya ini membaham mereka 5-0 pada Oktober 2021 semasa perlawanan liga di Old Trafford dan 7-0 di Anfield bagi perlawanan serupa pada Mac 2023.

Dua kekalahan tersebut jelas menunjukkan jurang prestasi antara dua kelab tersohor England ketika ini.

Jika dinilai mengikut kedudukan sekarang, Man U berada di tangga ke-6 dalam EPL berbanding Liverpool di tangga kedua dengan perbezaan 17 mata antara mereka.

Meskipun United telah memenangi Piala FA sebanyak 12 kali – kali terakhir pada 2016 – ia tidak sedikitpun menjamin peluang untuk menjuarainya pada tahun ini – disebabkan persembahan turun-naik anak buah ten Hag.

United menang tiga dan kalah dua berbanding Liverpool yang menang empat dan seri satu dalam lima perlawanan terakhir EPL.

Dari segi taktikal, ten Hag kelihatan lebih gemar pemainnya mengukuhkan barisan tengah dengan mengawal bola dan melakukan hantaran pendek bagi memecahkan benteng lawan berbanding pendekatan Klopp yang memberi tekanan menerusi aturan serangan pantas.

Hakikatnya, bermain di padang sendiri tidak menjamin kemenangan untuk United.

Ini kerana prestasi kesebelasan Liverpool lebih mantap, dengan barisan tengah, sayap dan serangan licik dalam mengatur rentak permainan – dua perlawanan terakhirnya – menentang Manchester City yang berkesudahan seri 1-1 pada 10 Mac dan kemenangan ke atas Sparta Praha 1-5 pada 8 Mac lalu membuktikan hal ini.

Dijangkakan, Liverpool mampu menang 2-0 di Old Trafford malam ini.

Sebabnya mudah. Benteng pertahanan Liverpool diperkukuh dengan kehebatan pemain Belanda, Virgil van Dijk dan rakan-rakan menyerap tekanan selain kecemerlangan Caoimhin Kelleher mempamerkan ‘kejantanannya’ hingga gawang sukar dibolosi.

Ini ditambah pula dengan kelebihan Joe Gomez serta Wataru Endo yang berjaya memenuhi percaturan strategik Klopp dalam mengukuhkan benteng pertahanan dan barisan tengah.

Dengan kegigihan Darwin Nunez, Luiz Diaz, Dominik Szoboszlai, Alexis Mac Allister, Andrew Robertson dan Cody Gakpo tidak henti-henti cuba menembusi gawang lawan bagi meraih kemenangan buat Liverpool, Man U tentunya sukar mematahkan serangan bertubi-tubi mereka.

Ini belum mengira kemampuan Mohamed Salah, ayam tambatan The Kop, merobek-ranapkan barisan pertahanan United yang selalunya goyah dan kerap kucar-kacir.

Jadi, jika dinilai secara keseluruhannya, Liverpool wajar menang.

Azam Liverpool mahu menjulang Piala FA tahun ini, buat kali ke-9, sebagai salah satu dari empat kejuaraan yang mahu dihadiahkan kepada Klopp – menjadikan pemburuan Liverpool seronok diikuti.

Jika keputusan seri, Liverpool akan lebih menyengat jika perlawanan ulangan berlaku di padang sendiri

Percayalah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >