Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SUKAN SEA KEMBOJA 2023: TINJU

Peluang terakhir Hanurdeen menang pingat tidak kesampaian

May 11, 2023 | 05:30 AM



DARI PHNOM PENH, KEMBOJA: NAMA Mohamed Hanurdeen Hamid memang tidak asing lagi dalam arena tinju Singapura selepas lebih 10 tahun berkecimpung dalam sukan tersebut.



Salah seorang atlet sukan tinju berbakat yang pernah mewakili negara dalam Sukan Olimpik Belia (YOG) pada 2010 apabila ia julung-julung kalinya diadakan di Singapura, jejaka berusia 30 tahun itu telah menyertai pelbagai pertandingan antarabangsa bagi sukan tinju, termasuk Sukan SEA.



Namun demikian, Sukan SEA kali ini di Kemboja berlainan sedikit baginya kerana ini kali terakhir beliau membuat penampilan sebelum menamatkan hikayat perjalanan tinju.



Ini merupakan kali ketujuh beliau membuat penampilan dalam Sukan SEA.



Beliau sebelum ini pernah memenangi pingat perak pada edisi 2015 dan gangsa pada edisi 2019.



Menurut Hanurdeen, beliau sebenarnya melahirkan hasrat menggondol pingat emas pertamanya dalam Sukan SEA yang sekian lama diimpikan - kali terakhir skuad tinju negara membawa pulang emas dalam Sukan SEA adalah pada 1985 melalui Mohammed Mukhlis Amat - sebelum menggantung sarung tangan tinju.



Namun apakan daya, tuah tidak menyebelahinya setelah beliau tewas 0-5 di tangan Aldoms Suguro dari Indonesia dalam suku akhir acara lelaki kategori 54 kilogram pada Isnin.



Dengan raut wajah agak kecewa semasa ditemui sehari selepas perlawanan, beliau berkata:



"Saya rasa saya dapat memberi prestasi lebih baik. Jika saya dapat pulang dengan membawa pingat, ia lebih baik tetapi saya telah berikan segalanya dalam Sukan SEA saya yang terakhir ini."



Beliau menjelaskan bahawa di kala usia yang semakin meningkat, ada baiknya untuk melakar rancangan kehidupan pasca sukan tinju untuk tumpu kepada keluarga dan kerjaya.



Ini setelah beliau kini bekerja sepenuh masa sebagai penyelaras di salah sebuah syarikat Jepun.



"Saya amat bersyukur kerana diberi sokongan oleh pihak majikan kerana untuk sepanjang tiga bulan yang lalu, saya diberi kelonggaran berlatih sepenuh masa.



"Tetapi inilah juga detik di mana saya sedar saya perlu fikir masa hadapan dan kehidupan selepas menjadi atlet," jelas beliau.



Justeru ada kalanya beliau berasa resah memikirkannya dan mungkin memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri kerana sudah terbiasa dengan rutin harian yang padat dengan latihan.



Beliau menambah bahawa beliau terbuka kepada kemungkinan untuk melangkah ke gelanggang tinju sekali lagi jika peluang dan prestasinya memadai pada masa hadapan.



"Sukan tinju adalah wadah yang membawa kebahagiaan kepada diri saya. Boleh dikatakan ia sesuatu yang memberi saya nafas dan matlamat dalam hidup.



"Saya tidak akan berhenti bertinju begitu saja kerana semangat meninju masih membara dalam diri tetapi saya akan menilai prestasi saya (dari masa ke masa)," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >