PEMENANG Tour de France (TDF) 2022, Jonas Vingegaard, membuktikan kehebatannya ketika muncul sebagai juara pertama Kriterium TDF Prudential Singapura pada Ahad (30 Oktober).
Warga Denmark yang menyarung jersi pasukan Jumbo-Visma itu melepasi garisan penamat di Platform Terapung @ Marina Bay dengan masa 1 jam 19 minit 47 saat selepas 20 pusingan di litar sepanjang 3.2 kilometer untuk mengatasi 43 pesaing lain.
Juara empat kali TDF, Chris Froome dari pasukan Israel-Premier Tech adalah yang kedua untuk mengakhiri perlumbaan, manakala Vincenzo Nibali, yang menjuarai edisi 2014 TDF, merangkul tempat ketiga. Nabali mewakili pasukan Astana Qazaqstan.
Kriterium TDF Prudential Singapura, yang dihadiri beberapa ribu penonton petang ini, berlangsung sepanjang dua hari sejak semalam dan adalah perlumbaan basikal dengan bilangan pusingan tertentu pada laluan tertutup di jalan raya awam.
Beberapa acara kriterium peringkat amatur turut diadakan pada awal pagi ini.
Kategori Masters Lelaki dimenangi oleh warga Afrika Selatan, Matthew Brittain dengan masa 25:39 selepas enam pusingan. Bekas pemenang pingat emas Sukan Olimpik dalam mendayung pada 2012 itu mewakili pasukan Matador Racing.
Warga Singapura Luqmanul Hakim Othman dari pasukan Fishtail Cyclery menjuarai kategori Senior Lelaki (37:16 daripada lapan pusingan), sementara Elizabeth Liau mewakili pasukan Pedaling Eggs Cycling dinobat pemenang kategori Terbuka Wanita (19:14 daripada empat pusingan).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg