Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelumba motor S’pura sertai litar kejuaraan Asia

Jazil sasar 10 tangga teratas dalam pertandingan yang bermula dari Buriram, Thailand, pada 25-27 Apr
Mar 7, 2025 | 6:10 PM
Pelumba Singapura, Jazil Juraimi (tiga dari kiri), bersama rakan sepasukan daripada Alvin Choong Racing (ACR) Team. Beliau dan pasukannya bertekad untuk mengakhiri Kejohanan Perlumbaan Jalan Raya Asia (ARRC) dengan kedudukan di 10 tempat teratas.
Pelumba Singapura, Jazil Juraimi (tiga dari kiri), bersama rakan sepasukan daripada Alvin Choong Racing (ACR) Team. Beliau dan pasukannya bertekad untuk mengakhiri Kejohanan Perlumbaan Jalan Raya Asia (ARRC) dengan kedudukan di 10 tempat teratas. - Foto JOSEPH WONG

Pelumba motosikal Singapura, Jazil Juraimi, bersedia untuk mengharumkan nama negara dalam Kejohanan Perlumbaan Jalan Raya Asia (ARRC) yang berprestij pada 2025.

Kategori AP250 dianggap sebagai salah satu acara perlumbaan paling kompetitif dan mencabar di Asia, yang menarik bakat terbaik untuk bertanding dalam kategori ini.

Pertandingan tersebut akan bermula dari Buriram, Thailand, pada 25 hingga 27 April.

Aspek unik dan berharga dalam perjalanan Jazil, 33 tahun, ialah bimbingan yang beliau terima daripada juara ARRC enam kali, Toshiyuki Hamaguchi, nama yang sinonim dengan kecemerlangan dalam dunia perlumbaan.

Kejurulatihan Hamaguchi terbukti memberikan manfaat besar kepada Jazil, membantunya memperhalusi teknik menunggang dan meningkatkan kemahirannya.

“Saya sebenarnya sudah lama berlumba sejak umur 13 tahun dan boleh dikatakan, banyak pengetahuan yang telah saya sudah perolehi.

“Tetapi apabila di bawah bimbingan Hamaguchi, saya mempelajari lebih banyak perkara mengenai teknik menunggang dan aspek lainnya, sementara beliau membantu saya meningkatkan dan mengasah apa yang saya sudah tahu,” jelas beliau.

Namun, bersaing di peringkat ini bukan tanpa cabaran.

Jazil berkongsi bahawa di Singapura, tiada litar lumba yang sesuai untuk latihan berlumba, menyukarkan proses berlatih secara meluas berbanding pelumba dari negara lain.

“Saya biasanya hanya boleh berlatih bersama motor saya apabila tiba di lokasi perlumbaan.

“Ini kerana Singapura tidak mempunyai litar lumba dan untuk menggunakan litar lumba luar negara memerlukan kos, tenaga dan masa,” kongsinya.

Kekangan ini bermakna Jazil perlu mencari alternatif untuk mengekalkan kecekapan tubuh badannya, seperti berlari-lari anak atau berbasikal untuk membina stamina.

“Kalau pelumba dari negara lain, mereka berlumba secara sepenuh masa dan boleh berlatih dengan motosikal mereka saban hari.

“Namun bagi kami, kami perlu kerja dan tiada ruang dan masa untuk berlumba setiap hari,” ujarnya.

Walaupun menghadapi cabaran ini, Jazil tetap bersemangat untuk mencapai matlamatnya dalam pertandingan tersebut.

“Matlamat kami adalah untuk menduduki 10 tempat teratas dalam kalangan lebih kurang 20 pelumba lain.

“Jika saya berjaya menduduki lima tempat teratas, saya anggap itu sebagai ‘bonus’ buat diri saya,” katanya.

Beliau menggalakkan penyokongnya untuk menonton perlumbaan secara langsung di Facebook dan YouTube, sambil berkata:

“Saya menghargainya kerana pertandingan ini memang agak mencabar, namun saya akan cuba memberikan yang terbaik demi Singapura.”

Mesej Jazil kepada penyokongnya juga jelas bahawa beliau mahu menunjukkan kepada dunia bahawa pelumba Singapura mampu mencapai kejayaan di pentas antarabangsa, walaupun kekangan yang dihadapi di negara sendiri.

“Saya ingin membuktikan bahawa kami di Singapura sebenarnya boleh (berjaya) kerana tahap kemahiran kami sebenarnya setanding dengan pelumba negara lain,” tambahnya.

Matlamat kami adalah untuk menduduki 10 tempat teratas dalam kalangan lebih kurang 20 pelumba lain.  Jika saya berjaya menduduki lima tempat teratas, saya anggap itu sebagai ‘bonus’ buat diri saya.
Jazil Juraimi, pelumba motosikal Singapura.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg