Setelah dilanda ujian dan kesulitan dengan gred yang merosot, ketiadaan jurulatihnya dan masa depan yang seakan tanpa tujuan, peluncur angin Reynold Chan memutuskan untuk meninggalkan sukan itu pada 2019.
Namun dalam benak fikirannya, bekas peserta Sukan SEA dan Sukan Asia itu sentiasa yakin bahawa beliau akan melungsuri ombak sekali lagi.
Masa yang dinantikan itu tiba pada 2023, selepas beliau lulus daripada Politeknik Temasek dan menamatkan perkhidmatan negaranya.
Chan kemudian menyertai kelab luncur angin Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Selepas berehat selama empat tahun, Chan akhirnya kembali menaiki papan luncur angin di perairan Taman East Coast pada Ogos 2023 – tempat kegemarannya sejak zaman beliau menjadi peluncur angin negara.
“Apa yang terlintas di fikiran saya ialah ‘Ya! Saya masih boleh (meluncur angin)!’. Sebelum ini, saya fikir saya mungkin sudah tidak tahu cara meluncur angin,” kata atlet berusia 24 tahun itu.
Enam bulan kemudian, Chan, yang kini bertanding dalam kelas LT Luncur Angin, menduduki tempat pertama daripada tujuh pesaing dalam divisyen lelaki pada Kejohanan Luncur Angin dan Foil Terbuka ke-43 Singapura pada Februari, lapor The Straits Times (ST).
“Sebenarnya saya mengambil bahagian terutamanya untuk bergembira, berseronok dan berlumba dalam kalangan kelas LT.
“Sudah tentu, apabila anda menyertai sukan kompetitif, matlamat utama anda ialah cuba menang sesuatu. Selain itu, saya hanya ingin bergembira,” ujar Chan.
Selepas keputusan itu, pesaingnya daripada Constant Wind Sea Sports and Sailing School menjemputnya berlumba bersama mereka di Kejohanan Luncur Angin Eropah di Italy dari 11 hingga 16 Jun.
Perlumbaannya di Lake Garda di Eropah pada mulanya tidak berjalan lancar, kerana beliau terjatuh dalam perlumbaan pertama dan turun ke tempat keempat dalam kategori lightweight.
Namun beliau bertambah yakin dalam beberapa perlumbaan seterusnya, sambil berkata “saya tahu saya boleh bertarung dengan yang lain”.
Pemikiran positif tersebut ternyata membuahkan hasil, dengan Chan menunjukkan persembahan baik secara konsisten sehingga menduduki tempat kedua secara keseluruhan daripada 46 pemain luncur angin dari seluruh dunia.
Keputusan sukannya juga seiring dengan kejayaan akademiknya. Kejayaannya memasuki universiti dengan jadual waktu belajar fleksibel membolehkannya mengurus masa antara pengajian dengan latihan sukannya.
Kini, Chan berhasrat untuk layak ke Sukan SEA 2025. Kali terakhir beliau bertanding dalam acara dwitahunan itu di Kuala Lumpur ialah pada 2017.
Beliau merancang bersaing dalam acara ujian di Thailand pada akhir 2024 dengan bimbingan jurulatih negara sebelum temasya itu.
Presiden Persatuan Luncur Angin Singapura, Dr Lemmy Teo berkata: “(Keputusan terbaru) ini menunjukkan beliau cepat membuat penyesuaian, pandai bertindak pantas terhadap (tiupan) angin yang boleh berubah, dan mempunyai semangat bersaing.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg