LONDON: Pemain Arsenal Ethan Nwaneri (foto), 15 tahun, menjadi pemain termuda beraksi dalam perlawanan Liga Perdana England (EPL).

Nwaneri dibawa masuk pada masa kecederaan dalam perlawanan menentang Brentford yang dimenangi Arsenal 3-0 kelmarin. Sekali gus ia memberinya penampilan sulung dalam pasukan senior Gunners.

Berusia 15 tahun 181 hari, pemain tengah itu mengatasi rekod Harvey Elliott, yang berumur 16 tahun 30 hari ketika diturunkan Fulham pada 2019.

Nwaneri dibawa masuk bersama Fabio Vieira di Stadium Brentford Community.

"Kami mempunyai peluang membawa masuk pemain muda. Ia adalah perasaan yang membanggakan. Saya bertemunya dan saya sangat menyukai aksinya.

"Dia berlatih dengan kami beberapa kali. Semalam, saya dapat rasakan jika ada peluang saya akan memberi peluang kepadanya. Dia berhak mendapat peluang itu dan melakukan tugasnya dengan hebat. Seorang pemain berbakat besar yang kami mahu kekalkan," puji jurulatih Arsenal, Mikel Arteta.

William Saliba menanduk masuk gol pembukaan Arsenal pada minit ke-17 hasil hantaran baik Bukayo Saka. Satu lagi gol 11 minit kemudian meletak Arsenal 2-0 di depan. Penyerang Gabriel Jesus melonjak tinggi bagi menyambut hantaran Grant Xhaka dan menjaringkan gol.

Brentford tidak berdaya mencabar apabila pemain tengah Fabio Vieira merembat kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-49 untuk menjadikan kedudukan 3-0. - Agensi berita.